Son of Patani: ‘Diari’ Raja yang dirampas takhta June 12, 2023 – Posted in: Uncategorized

Shafizan Johari
Astro Awani
Januari 1, 2023

Datin Dr Fadillah Merican menulis pelbagai cerita keluarga Raja Patani terakhir dalam naskhah Son of Patani.

FADILLAH tekun menulis satu demi satu tutur ibunya di satu buku nota yang disimpannya sejak 10 tahun lalu.

Di dalam buku nota itu, pelbagai cerita keluarganya yang disampaikan secara lisan, kini dicatat semula, sebagai salah satu usaha mengenang sejarah keluarga.

Malah inilah antara hobi utama bekas pensyarah sastera dalam Bahasa Inggeris ini sejak bergelar pesara. Daripada hobi, ia bertukar menjadi komitmen.

“Saya nak pastikan kisah hidup Nenda Raja diketahui oleh semua ahli keluarga dan tidak terhad kepada tulisan di buku-buku sejarah sahaja,” jelas Datin Dr Fadillah Merican, penulis buku Son of Patani.

“Saya juga mahu pembaca tahu mengenai apa yang bermain di fikiran Nenda Raja saya ketika baginda berundur dari Patani ke Kelantan setelah 21 tahun hilang takhta.

“Biarlah mereka tentukan sendiri sama ada tindakan baginda untuk berundur merupakan satu tindakan tepat atau sebaliknya,” jelas Fadillah, yang juga cicit kepada Raja Patani terakhir, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin Tengku Sulaiman.

“Sebenarnya saya mula fikirkan untuk memulakan projek ini selepas bersara, bagaimanapun proses mendapatkan maklumat dilakukan secara tidak menentu. Saya hanya mula menulis secara lebih konsisten apabila usia saya menjangkau 70 tahun,” jelas wanita berusia 76 tahun ini.

“Pada ketika itu, saya menjadi semakin berminat untuk mengetahui secara lebih mendalam sosok yang bernama Tengku Abdul Kadir ini. Untuk itu saya kumpulkan seberapa banyak maklumat tentang baginda daripada semua saudara mara,” jelas bekas Profesor Madya dalam bidang Bahasa Inggeris itu.

Begitupun, individu yang paling banyak yang menyumbang maklumat sehingga terhasilnya naskhah ini ialah ibu beliau sendiri, Tan Sri Tengku Noor Zakiah, yang banyak mendengar maklumat tentang menerusi bondanya, Tengku Besar Zabedah iaitu anak perempuan sulung Tengku Abdul Kadir.

Tengku Abdul Kadir merupakan antara sosok yang penting dalam sejarah Patani.

Buku-buku yang pernah ditulis oleh pengkaji sejarah sering membayangkan baginda sebagai seorang sosok yang berpengaruh, berilmu dan berkarisma tinggi.

Buku-buku sejarah turut mengenang beliau sebagai seorang insan yang tegas melawan ancaman Siam sehinggalah baginda dipenjarakan oleh Siam.

Banyak rekod sejarah termasuk surat-surat baginda kepada Frank Swetthenham yang ketika itu menjawat jawatan Gebenor Negeri-Negeri Selat kini dijadikan sebagai bukti penting dalam ilmu kajian sejarah Patani. Interaksi baginda dengan Swetthenham turut ditulis dalam memoir ini.

Siam mengalahkan Patani pada 1786 dan setelah itu melantik anak-anak raja tempatan untuk mentadbir negeri berkenaan, pada masa sama diberikan kuasa untuk meneruskan cara pentadbiran secara tradisi.

“Begitupun Almarhum, tidak pernah menganggap Patani sebagai negeri naungan (vassal state) kepada Siam. Walaupun ada pemberian bunga emas kepada Raja Siam, ia tidak dianggap sebagai ufti, sebaliknya, hanya sebagai pemberian hadiah. Malah Siam juga membalas hadiah berkenaan dengan memberikan peti yang diisi dengan pelbagai barangan berharga,” jelas Fadillah lagi.

Siam akhirnya memuktamadkan penguasaan ke atas Patani pada 1902 apabila Tengku Abdul Kadir dipaksa melepaskan takhta semasa dalam tahanan di Penjara Pitsanulok.

Pengunduran Tengku Abdul Kadir ke Kelantan tidak bererti baginda tidak pernah bangkit menentang penjajahan Siam, bagaimanapun, beberapa cubaan baginda untuk melawan gagal membuahkan hasil.

“Nenda saya juga banyak kali mempersoalkan sama ada tindakan baginda untuk berundur sebagai satu tindakan tepat. Apapun tindakan baginda, saya tahu bahawa sehingga akhir hayat baginda, tanah air dan rakyat Patani sentiasa dalam fikiran baginda,” ujar Fadillah penuh optimis.

Naskhah Son of Patani berbeza daripada buku-buku sejarah atau memoir Tengku Abdul Kadir.

Biografi ini ditulis mengikut format tulisan diari, seolah-olah menggambarkan ia ditulis sendiri baginda.

“Ia juga merupakan proses saya sendiri untuk mengenang baginda, mungkin dalam erti kata lain membuat versi saya sendiri mengenai kehidupan baginda.

“Saya juga berhati-hati untuk tidak menjadikan baginda sebagai sosok yang terlalu besar, berani dan tegas. Saya perlu mendapatkan saudara-mara untuk memahami beberapa tindakan yang dilakukan baginda,” terang Fadillah.

Tengku Abdul Kadir mangkat pada 1933 pada usia 56 tahun di Kelantan.

Kemangkatan baginda membawa bersama semua kenangan mengenai kegemilangan sebuah kesultanan yang unggul di Nusantara.

Walaupun sudah 90 tahun Raja Melayu terakhir Patani mangkat, soal Patani dan penentuan sendiri (self-determination) rakyat Patani, Yala dan Narathiwat masih menjadi pertikaian utama, sehingga membawa kepada pergolakan bersenjata, menjadikan wilayah Selatan Thailand sebagai antara wilayah paling panas di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, rundingan antara pihak pemberontak dan kerajaan Thailand semakin menampakkan kemajuan, walaupun perlahan.

Peranan Malaysia sebagai fasilitator proses rundingan damai juga dihargai oleh kedua-dua pihak, malah pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri memberikan harapan baharu kepada kemajuan rundingan yang disifatkan sebagai sangat sensitif ini.

Kunjungan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan ke atas Perdana Menteri tidak lama selepas Anwar mengangkat sumpah menggambarkan keinginan dan keyakinan Bangkok terhadap kepimpinan beliau bagi mempermudahkan rundingan antara dia pihak bertelagah ini.

Malah ketokohan Anwar juga diyakini oleh kumpulan pemisah utama Barisan Revolusi Nasional (BRN) menerusi ciapan yang dipercayai mewakili BRN, “Mudah-mudahan YAB PM Malaysia DS Anwar bin Ibrahim dapat membawa perubahan positif kepada proses damai.”

Tangkap layar Twitter yang dipercayai milik Barisan Revelusi Nasional (BRN) yang merupakan antara kumpulan pemisah yang paling berpengaruh di Selatan Thailand.

Bagi sesetengah pembaca, Son of Patani mungkin hanya sebuah memoir seorang raja yang kehilangan takhta, tetapi sebilangan pula mungkin boleh menjadikan naskhah ini sebagai peringatan jelas terhadap luka lama yang masih berdarah dalam masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi yang berada di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Hakikatnya, isu Patani masih menjadi salah satu isu paling mencabar dan sensitif di rantau ini.

“Niat saya menulis buku ini adalah sebagai hadiah kepada seramai mungkin keturunan Tengku Abdul Kadir supaya keturunan baginda dapat mengenali keperibadian baginda sebagai seorang pemimpin yang komited dan bertanggungjawab.

“Buku ini juga mendedahkan sisi lain baginda sebagai seorang ayahanda yang penyayang, ambil berat soal agama dan usahawan yang cekap,” kata Fadillah menyuarakan harapannya.

Almarhum baginda juga cakna mengenai hal ehwal antarabangsa dan pernah mempelajari Bahasa Inggeris dan mengambil tahu mengenai perkembangan global pada ketika itu menerusi tetamu-tetamu yang datang mengadap.

“Akhirnya saya berharap Tengku Abdul Kadir akan dilihat seperti seseorang yang cuba sehabis mungkin melindungi rakyat dan berjuang untuk negaranya dan hakikatnya bahawa Patani sentiasa dalam ingatannya,” jelas Fadillah.

Artikel ini asalnya diterbit oleh Astro Awani


* Shafizan Johari merupakan editor perancangan hadapan Astro Awani dan pelajar sarjana sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

*** Son of Patani boleh didapati di Areca Books, Pulau Pinang.

« A woman of strength
Publikasi yang akan datang (awal 2023) »