Cop mohor bawa maklumat sejarah May 19, 2021 – Posted in: In The News
Siti Haliza Yusop
KUALA LUMPUR: Maklumat yang terdapat pada cop mohor, menjadikannya sebagai sumber sejarah yang sangat penting mengenai kerajaan Melayu.
Apatah lagi apabila ada antara maklumat berkenaan tidak dicatat secara terperinci dalam mana-mana dokumentasi sejarah sezaman.
Ketua Kurator Koleksi Asia Tenggara, Perpustakaan British, Datuk Dr Annabel Teh Gallop, berkata dalam cop mohor atau sebelum ini disebut sebagai ‘cap Melayu’ nama pemilik, gelaran serta keturunan turut dimuatkan.
Hal ini menjadikan cop mohor menyimpan maklumat lebih lengkap berbanding sumber sejarah lain seperti Hikayat Melayu.
Malah ada sesetengah cop mohor kata Gallop, turut mengandungi maklumat nama tempat, negeri, kota selain turut mencatat istilah agama serta unsur azimat.
Gallop berkata, antara yang terpenting dalam sejarah Melayu ialah cop mohor yang menyebut nama Sultan Pahang yang membunuh ayahandanya pada tahun 1614.
“Cop mohor berkenaan dikesan terdapat pada surat perjanjian dengan Portugal pada tahun 1614.
“Cop mohor itu sangat penting kerana ia menjadi satu-satunya sumber sejarah yang menyebut nama Sultan Pahang yang membunuh ayahandanya sebelum beliau sendiri dibunuh adiknya pada tahun berikutnya.
“Dalam Hikayat Melayu, nama sultan itu tidak pernah disebut sebaliknya hanya dirujuk sebagai Sultan atau Yang Dipertuan sahaja,” katanya pada Wacana Cop Mohor dan Surat-Surat Johor, baru-baru ini.
Wacana anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Johor yang disiarkan secara maya itu dikendalikan oleh sejarawan, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.
Bagaimanapun kata Gallop, disebabkan maklumat dalam cop mohor itu, barulah diketahui Sultan Pahang yang dimaksudkan ialah Sultan Alauddin Riayat Shah (ibni Almarhum Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah)
“Daripada kajian yang dilakukan membuktikan maklumat pada cop mohor ini sangat tepat sehingga ia dipercayai sebagai sumber sejarah penting yang bukan berasal daripada sumber asing,” katanya.
Sultan Alaudin Riayat Shah, adalah Sultan Pahang ke-13 yang memerintah dari 1614 hingga 1615 apabila merampas takhta dengan membunuh Sultan Pahang ke-12 iaitu bapanya, Abdul Ghafur Muhiuddin Shah.
Cop mohor dari Pahang itu tambah Gallop, adalah sebahagian kajiannya yang meneliti tulisan terdapat pada cop mohor Melayu sebelum ia dibukukan pada 2019.
Naskhah itu, Malay Seals from the Islamic World of Southeast Asia, mengandungi kajian mengenai 2,168 cop Melayu daripada Asia Tenggara termasuk yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu serta bahasa serumpun yang lain.
Gallop berkata, cop mohor banyak dikesan dalam surat berbahasa Melayu atau bahasa lain yang kebiasaannya diletak jelaga pelita hitam, dakwat hitam, merah atau lilin merah.
Ia katanya, digunakan di seluruh dunia Melayu daripada Aceh di Sumatera hinggalah ke Mindanao di Selatan Filipina.
Di dunia Melayu, cop mohor hanya digunakan dalam kalangan raja dan ia berbeza di bahagian lain dunia Islam termasuk Mesir, Iran dan Iraq yang mana cop mohor dimiliki semua lapisan masyarakat termasuk pembantu rumah.
Menurut Gallop, cop mohor yang sama boleh didapati pada lebih daripada satu surat misalnya cop mohor dimiliki Sultan Riau terakhir, Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah, dikesan terdapat di atas 186 pucuk surat.
Katanya, ia adalah cop mohor terbanyak yang boleh didapati di atas surat dibandingkan dengan yang lain.
Daripada 186 surat yang dikenal pasti, dua daripadanya kini di simpan di Perpusataan Negara Malaysia dan Muzium Tamadun Asia di Singapura.
“Bakinya disimpan di Arkib Nasional Republik Indonesia serta dalam koleksi perseorangan di Riau yang turut didigitalkan melalui Endangered Archives Programme dan boleh dilayari di laman web Perpustakaan British
“Selain katalog cop mohor, naskhah ini juga boleh digunakan sebagai rujukan terhadap koleksi surat kerajaan Melayu yang tersimpan dalam pelbagai koleksi di seluruh dunia,” katanya.
Gallop berkata, antara cop mohor yang menarik termasuklah yang didapati melalui surat perjanjian bagi pembelian lada daripada pedagang Denmark bertarikh 1 Safar 1094 hijrah, dimiliki Datuk Paduka Raja daripada Makam Tauhid, Johor.
Katanya bahagian dalam cop mohor bertulisan Arab itu berkelopak sedangkan bahagian luarnya pula bersegi.
“Ini berbeza dengan kebanyakan cop mohor dari kurun seterusnya yang memiliki garis luaran yang berkelopak tetapi bahagian dalam pula berbentuk lingkaran atau bersegi.
“Bagaimanapun bentuk cop mohor Johor terawal yang diketahui mempunyai persamaan dengan mata wang dinasti Ikhanid dan Bengal dari kurun ke-14 sekali gus memperlihatkan pengaruh tamadun Islam.
“Ia juga mencerminkan jaringan atau perhubungan Johor sebagai sebuah pusat perdagangan pada ketika itu,” katanya.
Bagaimanapun kata Gallop, sejak akhir abad ke-18 serta awal abad ke-19, pengaruh luar kepada cop mohor Melayu mula menghilang dan ia diambil alih dengan bentuk yang lebih seragam serta kemelayuan.
“Saya melihat adanya kecenderungan menggunakan bentuk tertentu misalnya bunga teratai berkelopak lapan dan ini susulan kejayaan penjajahan Belanda dan Inggeris yang menyebabkan berlakunya pemotongan terhadap jalur perhubungan antara dunia Melayu dan luar,” katanya.
Artikel ini diambil dari Berita Harian 10 Mei 2021