‘Islamkan’ Mak Yong kalau mahu di Kelantan, kata PAS September 30, 2019 – Posted in: In The News

26 September 2019

OLEH ALIFF FIKRI AZIZ

KUALA LUMPUR, 26 Sept — Kerajaan Kelantan menggesa tarian tradisional Mak Yong di negeri itu “diislamkan” untuk persembahan. 

Malah timbalan menteri besarnya berkata kalau boleh, perkara tidak sesuai dalam pertunjukan itu juga mesti diubah, lapor Sinar Harian.

Gambar: Libur

“Mak Yong pun boleh diislamkan, buang unsur-unsur yang tidak sesuai. Penceritaannya kita ubah sedikit, tidak ada masalah,” kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Pejabat mufti sudah keluarkan surat kebenaran apabila dia melihat satu persembahan Mak Yong yang diubah suai maka dia memberi lampu hijau kepada persembahan itu. Jadi ikut sajalah yang itu, tidak jadi masalah. Mereka sudah menilai dalam semua aspek.”

Dalam pada itu, Mohd Amar turut meminta pengiat seni negeri mengambil contoh seniman di negara timur tengah seperti Iran.

Dakwa beliau, walau peraturan di sana “ketat”, tetapi filem mereka “berkembang dengan baik dan mencapai anugerah antarabangsa”. 

“Maknanya, seniman atau artis mesti kreatif, itu yang penting. Jangan kata kita tidak boleh berseni sebab peraturan. Itu tidak betul,” kata wakil rakyat Panchor.

Artikel ini mula-mula diterbitkan dalam ProjekMM pada 26 September 2019

« Kelantan lifts Mak Yong ban after two decades, but insists performances must be Shariah-compliant
Ban on Mak Yong in Kelantan lifted »