Suara hati waris Sutan Puasa February 25, 2019 – Posted in: In The News
Dalam keluarga kami, Sutan puasa dianggap sebagai hero tetapi kami tidak dapat memberitahu perkara itu kepada orang lain kerana tidak mempunyai rujukan dan ia mungkin tidak akan dipercayai.
BOLEH dikatakan ramai orang tidak begitu menghargai kepentingan sejarah. Bagi mereka sejarah hanyalah peristiwa yang telah berlalu dan tidak perlu dikenang kerana kita hanya perlu terus bergerak ke hadapan.
Perkara itu membuatkan masyarakat terlupa bahawa melalui sejarah kita boleh mengenal asal usul diri, tempat dan mengambil pengajaran daripada kejadian masa dahulu bagi menghadapi cabaran yang mendatang.
Dari sudut pandangan lain, sejarah mempunyai kepentingan tersendiri dalam kehidupan seseorang individu, sesebuah negara, bangsa mahupun tamadun manusia.
Justeru, usaha yang dilakukan oleh penyelidik sejarah tempatan, Abdur-Razzaq Lubis yang menghasilkan buku Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur perlu dihargai semua pihak kerana ia memberi interpretasi baharu kepada masyarakat.
Naskhah itu tidak hanya membentangkan penelitian kepada fakta mengenai sejarah awal pembukaan Kuala Lumpur oleh Sutan Puasa, bahkan dalam masa yang sama tidak mengabaikan peranan pihak lain yang terlibat.
Menurut waris Sutan Puasa, Adam Shah Azlan, 38, beliau dan ahli keluarga yang lain berharap semua rakyat Malaysia bersikap terbuka terhadap kajian yang membuktikan moyang mereka sebagai individu bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur.
Jelas Adam Shah, kajian yang dilakukan oleh penyelidik tersebut mengambil masa lebih tujuh tahun untuk dibukukan, justeru adalah tidak adil sekiranya fakta tersebut terus ditolak mentah-mentah.
“Penulisan buku Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur bukanlah bermaksud untuk menolak terus sumbangan Yap Ah Loy dan Raja Abdullah yang telah diterima dalam kebanyakan teks hari ini.
“Usaha penulis Abdur-Razzaq dan kami sebagai pewaris Sutan Puasa hanya mahu mencari kebenaran dalam sejarah yang mungkin secara tidak sengaja ‘ditinggalkan’. Sekurang-kurangnya masyarakat tahu apa yang berlaku di Kuala Lumpur sebelum kedatangan Yap Ah Loy atau Raja Abdullah.
“Sebagaimana kita menghargai peranan Yap Ah Loy dan Raja Abdullah dalam membangunkan Kuala Lumpur, jasa Sutan Puasa sebagai individu yang bertanggungjawab membuka penempatan di kawasan yang menjadi ibu negara Malaysia ketika ini perlu diketahui masyarakat,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Tambah Adam Shah, beliau dan ahli keluarga menerima sebarang kritikan daripada semua pihak, tetapi mahu mereka turut terlibat dalam memberi pandangan yang bernas dan tidak terlalu beremosi.
“Dalam masa yang sama, saya juga berharap pihak kerajaan memberi perhatian terhadap fakta yang diutarakan dalam buku dihasilkan Abdur-Razzaq supaya ia boleh menjadi sebahagian daripada sejarah negara.
“Banyak lagi perkara yang perlu dikaji mengenai sejarah negara dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu terlibat sama. Tidak semestinya apa yang ditinggalkan oleh penjajah sebelum ini perlu diterima.
“Sama seperti sejarah pahlawan Melayu di Pahang. Ketika zaman penjajahan British, Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman dianggap sebagai pemberontak, tetapi selepas negara merdeka, kita isytiharkan mereka sebagai pejuang,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai perasaan waris Yap Ah Loy, Adam Shah berkata, keluarga tersebut bersifat terbuka dan tidak berkecil hati dengan penemuan yang ditulis dalam buku Abdur-Razzaq.
“Ketika ini kami sedang berhubung untuk mengadakan satu pertemuan bagi berkongsi pandangan masing-masing. Apa yang dihasilkan melalui buku Abdur-Razzaq bukan bersifat peribadi, tetapi hanya untuk berkongsi dengan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi waris Sutan Puasa, Datuk Sheila Majid berkata, beliau sudah mendengar cerita peranan Sutan Puasa dalam membuka Kuala Lumpur oleh ibu dan bapa saudaranya sejak kanak-kanak lagi.
“Dalam keluarga kami, Sutan Puasa dianggap sebagai hero tetapi kami tidak dapat memberitahu perkara itu kepada orang lain kerana tidak mempunyai rujukan dan ia mungkin tidak akan dipercayai.
“Oleh itu, saya gembira kerana Abdur-Razzaq membuat kajian komprehensif ini, sekali gus dapat menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan Sutan Puasa sebagai individu yang bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur,” katanya,
Tambah Sheila, meskipun Sutan Puasa tidak berkahwin, beliau membawa sekali anak saudaranya, Haji Jafaar ketika berhijrah ke Tanah Melayu dan daripada situ keturunan Sutan Puasa berkembang di negara ini.
Bagi Presiden Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, pendedahan Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim pada beberapa wacana intelektual beberapa tahun lalu mengenai Sutan Puasa menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai.
Ujar Ahmad Tarmimi, rata-rata masyarakat berketurunan Mandailing di negara ini sudah lama mengetahui bahawa Sutan Puasa merupakan individu bertanggungjawab membuka penempatan di Kuala Lumpur sebelum ia didedahkan oleh pakar sejarah negara itu.
Bagaimanapun, katanya, akibat kelemahan masyarakat yang tiada catatan bertulis dan gambar mengenai pembukaan Kuala Lumpur oleh Sutan Puasa, mereka sukar membuktikan siapa sebenarnya mengasaskan Kuala Lumpur.
“Penemuan sebuah terowong rahsia sepanjang 10 meter yang dipercayai berusia ratusan tahun di Bukit Nanas, Kuala Lumpur pada Januari 2015 yang bersambung hingga ke tebing Sungai Klang membuktikan masyarakat Mandailing sudah lama bertapak di ibu negara.
“Terowong itu dipercayai digunakan penduduk Mandailing dari Sumatera sebagai laluan bagi melarikan diri ketika Perang Saudara di Selangor pada 1868 dan 1871,” ujarnya.
Jelas Ahmad Tarmimi, hasil pendedahan Kay Kim dan buku Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur, memberi interpretasi baharu kepada persoalan siapa sebenarnya membuka Kuala Lumpur.
This article first appeared on 14 April 2018 in Kosmo Online