Sukar meluruskan sejarah March 10, 2022 – Posted in: In The News

Anding Kahar
Februari 22, 2022

KUALA LUMPUR :

Hampir 48 tahun Kuala Lumpur meraikan Hari Wilayah namun sehingga kini persoalan siapa pendiri sebenar ibu kota Malaysia itu masih lagi dibincangkan. ARKIB NSTP
Hampir 48 tahun Kuala Lumpur meraikan Hari Wilayah sejak pembentukannya pada 1 Februari 1974. Namun, sehingga kini persoalan siapa pendiri sebenar ibu kota Malaysia itu masih lagi dibincangkan.

Jika sebelum ini nama Kapitan Cina ketiga, Yap Ah Loy dan Raja Abdullah Raja Jaafar didakwa sebagai pendiri Kuala Lumpur, lima tahun lalu naratif itu berkembang apabila nama Sutan Puasa, turut dikaitkan.

Hal ini bermula apabila sejarawan mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pada 2017 menyebut pendiri Kuala Lumpur adalah Sutan Puasa, yang mana ia mencetuskan banyak kontroversi.

Tahun yang sama, sejarawan dan penyelidik bebas Abdur-Razzaq Lubis, muncul dengan ‘Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur’ menjadikan isu itu terus hangat di dada media dan forum bebas.

Bagi Abdur-Razaq, kenyataan Sutan Puasa seorang anak Mandailing dari Sumatera sebagai pendiri Kuala Lumpur dibuat bersandarkan fakta dan mengambil masa lima tahun penyelidikan.

Fakta sejarah itu sememangnya ‘mengejutkan’ naratif sejarah pendiri Kuala Lumpur yang belum pun selesai.

“Dalam hal ini kita lihat memang terdapat kesukaran untuk meluruskan sejarah. Setahu saya tiada usaha pun dibuat ke arah itu selepas fakta sebenar didedahkan, jangankan hendak mengiktiraf kedudukan Sutan Puasa.

“Ketika ini kita juga berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan suasana politik tidak stabil selain masalah seputar kehidupan membabitkan ekonomi dan sebagainya, jadi tumpuan kita tidak lagi ke arah itu,” katanya.

Tegas Abdur-Razaq, bagaimanapun fakta tidak boleh disanggah dengan emosi apatah lagi usaha bermotivasi politik. Menenggelamkan fakta sejarah hanya kerana kecurigaan, sentimen perkauman juga politik hanya akan merugikan negara dan generasi muda.

Tambahnya, selepas hampir lima tahun penerbitan ‘Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur’, naskhah itu masih menarik minat pembaca. Namun reaksi yang diterimanya pelbagai dan boleh dijangka. Sebahagian besar pembaca yang menerimanya dengan lapang dada adalah Bumiputera tetapi sebahagian lain agak curiga.

“Sebenarnya jika kita baca semula tulisan orientalis seperti SM Middlebrook mengenai Yap Ah Loy pada 1951, beliau tidak pernah menyebut Kapitan Cina itu sebagai pendiri Kuala Lumpur. Dia hanya tulis Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina ketiga sahaja,” katanya kepada BH.

Untuk rekod, sebelum ini Profesor Emeritus Penyelidikan dan Geografi Asia dari University of British Columbia di Vancouver, Kanada, Terry McGee pernah membuat kenyataan, ‘memperbetulkan sejarah amat sukar dan itulah yang berlaku dalam isu berkaitan pembuktian siapa pengasas sebenar Kuala Lumpur’ dan hal ini dipersetujui Abdur-Razaq.

“Selepas hampir lima tahun naskhah ini terbit, sangat ketara meluruskan sejarah itu amat sukar dan berat. Terdapat banyak faktor yang melingkarinya.

“Kebenaran memang pahit dan tidak semua sanggup atau bersedia menerimanya,” katanya.

Berdasarkan penyelidikan, Sutan Puasa atau Sutan Naposo datang ke Tanah Melayu kerana lari daripada Perang Padri yang berlangsung di kampung halamannya dari 1803 hingga 1838. Kedatangannya juga mewujudkan perkampungan Mandailing di Kuala Lumpur pada 1830-an.

Hal ini menurut Abdur-Razzaq menjadikan Sutan Puasa sebagai individu yang bertanggungjawab dalam merancang dan membangunkan wilayah baharu berkenaan, sebagai pusat perniagaan dan ekonomi sebelum kedatangan British pada 1875.

Justeru bertanggungjawab sebagai pemimpin di kawasan itu, Sutan Puasa menjemput Hiu Siew dan Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung untuk datang ke Kuala Lumpur mengembangkan perniagaan.

Hiu Siew kemudiannya menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur pertama dengan sokongan Sutan Puasa begitu juga ketika Yap Ah Loy dilantik sebagai kapitan.

Sutan Puasa berasal daripada keturunan bangsawan di Tobang, Sumatera mendapat sokongan daripada orang Mandailing lain yang berada di sekitar Kuala Lumpur seperti Raja Asal dan Raja Bilah.

Di akhir hayatnya, Sutan Puasa menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Beliau meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Abdur-Razaq berkata, kontroversi yang melingkari penyelidikan mengenai pendiri Kuala Lumpur itu tidak menyekat beliau untuk terus melakukan penyelidikan ilmiah.

Terbaharu, beliau meluncurkan naskhah Tarikh Raja Asal: Derap Perantauan Kaum Mandailing Sumatra ke Tanah Semenanjung.

Naskhah berkenaan merakamkan mengenai penghijrahan kelompok keturunan Mandailing dari Sumatera berikutan Perang Padri yang berlaku antara 1803 hingga 1845.

Berita Harian

« Gary Lit shares late father’s story in ‘If the Sky were to Fall’
Contested space revisited: a review in International Journal of Heritage Studies by Creighton Connolly »