Menulis sejarah orang kalah April 21, 2021 – Posted in: In The News – Tags: , , ,

Oleh DR MUHAMIN SULAM / April 17, 2021

Buku ‘Batu Uban. Sejarah Awal Pulau Pinang’ tulisan Prof Dr. Ahmad Murad Merican dianugerahkan sebagai buku terbaik dalam kategori buku sejarah sempena Majlis Anugerah Buku Negara baru-baru ini. Beliau bukanlah terdidik dalam disiplin sejarah dan bukan pakar sejarah. Namun karyanya itu, saya anggap sebagai sejarah orang kalah.

Orang asal Pulau Pinang adalah ‘orang kalah’. Mungkin sebagai anak tempatan, Prof Dr. Ahmad Murad Merican cuba bangun menolak pemikiran yang sedia tertanam kukuh dalam fikiran masyarakat. Kalah bermaksud sejarah mereka sebagai sebahagian Kedah, peneroka awal tidak diiktiraf.

Umum mengetahui bahawa Pulau Pinang ‘dibuka’ oleh Francis Light selepas beliau mendapat perkenan Sultan Kedah untuk menggunakan Pulau Pinang sebagai pengkalannya. Naratif itu tertanam sejak 1786, iaitu tahun kaki Francis Light menjejak pulau itu. Kedah cuba mendapatkan semula Pulau Pinang tetapi gagal. Bahkan dalam usaha mengembalikan pulau itu, Kedah terpaksa kehilangan Seberang Prai. Panjang sejarahnya.

Prof Dr. Ahmad Murad Merican

Artikel ini hanya membahaskan persoalan apabila menulis sejarah ‘orang kalah’. Pengertian ‘orang kalah’ memang terlalu subjektif tetapi pada ruang lingkup yang ada, pengertian ‘orang kalah’ adalah naratif mereka yang terpinggir dan marginal. Manakala maksud lawannya adalah naratif arus perdana yang biasanya dikaitkan dengan pandangan Barat atau Eurocentric.

Idea menolak pandangan Barat adalah satu pendekatan deconstruct atau decolonisation. Bagi menentukan sesuatu karya sama ada bersifat Eurocentric atau tidak ia bergantung lebih kepada falsafah kajian. Gambaran Tok Janggut, Maharajela, Tok Bahaman sebagai penderhaka adalah dari kaca mata Inggeris yang menjajah ketika itu. Gambaran itu adalah naratif Eurocentric.

Tulisan Ahmad Murad Merican tentang sejarah Pulau Pinang memang jelas menolak naratif Eurocentric. Penulis mengemukakan hujah dari sumber tempatan dan tafsiran baru daripada dapatan-dapatan sarjana lain. Ada beberapa sarjana yang mengemukakan konsep ‘autonomous social science’ sebagai alternatif hegemoni kesarjanaan. Ia satu lagi kerangka untuk keluar dari ‘captive mind’ barat tanpa memusuhi pandangan barat.

Cabaran kita khususnya sarjana tempatan adalah untuk lebih menerbitkan jurnal dan artikel dalam meredah dunia. Bahkan jika kita tinjau susur galur perkembangan idea ‘deconstruction of knowledge’ dimulai sarjana kiri dan Marxist. Ironinya istilah ‘kiri’ dan ‘marxist’ juga lahir dari tembuni Barat!

Jalan sederhana adalah mengambil kebaikan dari barat ataupun timur. Jika falsafah ‘knowledge is power’ yang dijadikan asas pembinaan pengetahuan, ia kekal bersifat imperialism. Mengongkong pemikiran masyarakat.

Setelah Inggeris dan kolonial meninggalkan tanah ini berdekad-dekad lamanya, generasi merdeka seharusnya berani berdiri atas fikirannya sendiri. Seharusnya tidak lagi bergantung dalam kerangka yang ditinggalkan oleh mereka. Generasi merdeka perlu membina naratif yang lebih adil pada pribumi sendiri.

Peperangan dan pertempuran serta persengketaan pemikiran adalah harga yang sangat mahal buat kita membentuk sebuah negara yang harmoni. Bukan sahaja taruhannya adalah jiwa tetapi harga diri. Dihukum tanpa diadili. Dihukum tanpa dikaji. Berapa lama Tok Janggut dilabel sebagai penderhaka? Berapa lama sejarah Pulau Pinang tenggelam?

Menulis sejarah terutama zaman sebelum merdeka dan pasca perang pasti menemui cabaran ini. Penyelidikan dan penulisan sering bertembung dengan jalur-jalur yang sangat kompleks. Rencam dan kejam.

Keadaan sama juga pada masa kini. Menulis tokoh dan kumpulan yang terpinggir, kalah dan minoriti sering dianggap usaha subversif, kiri dan anti nasional.

Melihat sejarah bukan sahaja perlu adil tetapi berani menerima kepelbagaian sudut pandangan yang berbeza. Sekian lama kita diasuh membaca sejarah orang menang (sejarah sisi pihak yang berkuasa), secara tidak langsung pemikiran kita sudah terjajah. Tidak merdeka.

Merdeka hanya pada laungan dan kibaran Jalur Gemilang sambil nyanyian Negaraku. Namun jauh di sudut pemikiran masyarakat masih terkongkong dan terjajah dengan tinggalan kerangka penjajah.

Mengkaji sejarah bermakna mengkaji konflik politik, pertentangan idea hingga pertarungan yang melibatkan kecederaan dan kehilangan jiwa. Lalu pada akhir pertarungan itu, ada yang menang dan yang kalah.

Sejarah banyak menceritakan perihal orang-orang atau tokoh yang memiliki kekuasaan dan tahkta. Sejarah orang berkuasa hakikatnya lebih sarat dengan penindasan dan penyimpangan dari membela nusa bangsa. Sejarah orang berkuasa hanya berligar seputar kelompok berkepentingan yang sama.

Sejarah orang berkuasa penuh dengan penipuan dan politik lakonan dalam mengaut khazanah tanahair.

Sejarah jelek sedaya upaya ditutup rapat-rapat dengan mengagung-agungkan peranan dan sumbangan tokoh atau kelompok tertentu. Lalu sejarah yang sampai ke telinga dan pemikiran masyarakat sudah sedia terbentuk dan diterima tanpa soal.

Sejarah rakyat biasa, orang tidak ternama akan hilang dan tenggelam. Sejarah orang tertindas dimatikan terus. Sejarah orang yang dizalimi kehilangan suara.

Apabila menulis sejarah orang atau kumpulan kalah, salah satu cabaran yang terpaksa berdepan adalah kesombongan tembok penguasa (termasuk sarjana) dan kebodohan masyarakat pandir. Inilah cabaran yang boleh memandulkan usaha mengkaji dan menulis sejarah orang kalah.

Cerita derita bangsa dan tanahair hanya dapat diselami dari pena dan kertas penulis sejati yang mengadun kata-katanya yang tajam dengan penuh makna. Ia melibatkan tekad politik dan seni berkarya.

Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam laman web malaysiadateline.com/

« Seeing Penang from new angles
Can Mak Yong survive another decade? »