Kenali Chitty–masyarakat India Peranakan di Malaysia yang semakin pupus January 6, 2021 – Posted in: In The News
Osman Affandi
29 Nov 2018
Perkataan Baba itu merujuk kepada lelaki sementara Nyonya pula bermaksud wanita. Peranakan pula bermaksud keturunan dimana mereka adalah keturunan nenek moyang mereka yang telah berhijrah ke sini. Dari segi bahasa pula, mereka bertutur dalam bahasa Melayu dan kebiasaannya hanya golongan-golongan berumur sahaja yang pandai bertutur dalam bahasa Hokkien.
Masyarakat Baba Nyonya ini begitu sinonim dengan negeri Melaka dan di Melaka, terdapat sebuah muzium khas Baba dan Nyonya yang memaparkan sejarah, latarbelakang dan budaya masyarakat mereka. Muzium ini terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock.
Berbalik kepada tajuk di atas, sebenarnya terdapat sebuah lagi komuniti masyarakat kecil di Malaysia yang mungkin jarang didengari iaitu Chitty. Sekiranya Baba Nyonya adalah komuniti Cina Peranakan, Chitty pula adalah masyarakat India Peranakan.
Mengikut catatan sejarah, ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, ramai pedagang India daripada Tamil Nadu telah datang ke Melaka. Seperti masyarakat Baba dan Nyonya, pedagang India ini juga telah membina penempatan di Melaka dan hidup bermasyarakat dengan penduduk tempatan.
Walau bagaimanapun, setelah kejatuhan kekuasaan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511, para pedagang ini semakin jauh dan terputus hubungan dengan negara tempat asal mereka. Ramai juga yang akhirnya berkahwinan dengan penduduk tempatan.
Di bawah kekuasaan penjajah Portugis, Belanda dan British, masyarakat Chitty ini sudah banyak berasimilasi dan mengamalkan budaya dan cara hidup masyarakat tempatan. Antara kewujudan awal masyarakat Chitty ini di Melaka adalah melalui pembinaan Kuil Sri Poyatha Moorthi di Melaka.
Kuil ini dibina pada tahun 1781 oleh Thaivanayagam Pillay, iaitu ketua komuniti masyarakat Chitty setelah penjajah Belanda menghadiahkan mereka sebidang tanah. Kuil ini merupakan kuil tertua di Malaysia dan rekabentuknya juga begitu ringkas, tidak seperti rekabentuk kuil-kuil lain yang lebih kompleks.
Rupa bentuk dan asimilasi budaya
Walaupun secara umumnya masyarakat Chitty ini berasal dari Tamil yang mempunyai warna kulit yang gelap, rata-rata masyarakat Chitty ini mempunyai rupa paras seperti orang Asia Tenggara yang berkulit cerah. Malah, tidak keterlaluan ada yang mengatakan mereka kelihatan seperti orang Melayu.
Hal ini disebabkan mereka mengamalkan perkahwinan campuran antara kaum. Apabila pedagang India ini datang ke Melaka dahulu, mereka tidak membawa bersama wanita atau isteri dari India sebaliknya berkahwinan dengan masyarakat tempatan di Melaka. Oleh itu, rupa paras dan warna kulit mereka juga lebih cerah seperti orang tempatan di sini.
Dari segi budaya, budaya yang diamalkan oleh masyarakat Chitty banyak dipengaruhi oleh asimilasi daripada kaum Melayu, China, Belanda dan Portugis. Walau bagaimanapun, budaya kaum India masih kuat dalam beberapa perkara antaranya dalam hal perkahwinan.
Dari segi pakaian pula, masyarakat Chitty lebih selesa berpakaian seperti orang Melayu. Sebagai contoh, kaum wanita masyarakat ini lebih selesa memakai baju kebaya sama seperti kaum wanita daripada masyarakat Baba dan Nyonya. Bagi lelaki pula, mereka selesa berkain sarong.
Agama dan cara sambutan perayaan
Secara umumnya, majoriti masyarakat Chitty beragama Hindu. Oleh itu, mereka tetap akan menyambut perayaan bagi penganut agama Hindu seperti Deepavali, Navratri, Ponggal dan perayaan-perayaan lain yang disambut penganut agama Hindu di Malaysia.
Walau bagaimanapun, masyarakat Chitty tidak menyambut perayaan Thaipusam secara besar-besaran sebagaimana penganut agama Hindu yang lain. Ketika pagi Deepavali, adalah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk menikmati juadah bersama-sama keluarga.
Menariknya, makanan-makanan yang sinonim dengan orang Melayu seperti roti jala biasanya menjadi pilihan masyarat Chitty. Pada masa kini, penempatan masyarakat Chitty boleh dilihat di Kampung Tujuh, Melaka dimana kawasan ini turut menempatkan orang Melayu dan China.
Di Melaka juga, terdapat sebuah muzium khas bagi mempamerkan sejarah, budaya dan cara hidup masyarakat Chitty ini.
Kredit
This article first appeared in iluminasi.com