Rumah Melayu September 3, 2019 – Posted in: In The News, Reviews
Kembara Seorang Penyair
Rumah Melayu
Oleh Muhammad Haji Salleh
Rumah ialah tempat tinggal bangsa dan tamadunnya, tempat lahir dan membesar, tempat berlindung dari alam dan menikmati makna alam. Akhirnya rumah menjalin peradaban manusia dengan alam itu sendiri. Dua bahagian ini bertemu di tangga, di halaman, dan juga di tebar layar dan silam bayung yang melangit.
Yang cukup menarik ialah hakikat bahawa rumah Melayu menarik perhatian cukup banyak arkitek dan pengkaji. Sejak tahun 1930-an oleh Hilton, melalui zaman kepada karya Lim Jee Yuan, The Malay House, dan setelah itu Abdul Halim Nasir, Wan Hashim Wan Teh, The Traditional Malay House, dan Abdul Halim Nasir, Wan Hashim Wan Teh, Warisan Seni Bina Melayu, Zulkifli Hanafi, Aspek Spiritual dan Hubungannya dengan Konsep Ruang Rumah Tradisional Melayu, dan sebuah lagi oleh beliau, Pembinaan Bangunan Tradisional Melayu.
Dari Indonesia, terbit pula Rumah Melayu oleh Mahyuddin la-Mudra. Yang terkini daripada Penerbit UIA, Warisan Seni Bina Dunia Melayu Rumah-rumah Tradisional oleh Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi, Kamaruddin Mohd. Ali, Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, Ra-alah Mohamad dan Gurupiah Mursib. Pada awal tahun 2014, Rumah, An Ode to the Malay House oleh Tenas Effendy, diterbitkan oleh Areca Books.
Yang cukup menarik juga ialah hakikat bahawa Dato’ Dr. Kean Yeang, seorang arkitek, menemukan puisi khusus tentang rumah Melayu oleh Tenas, antara beberapa ratus sajak dan syair pengarang tersohor ini. Beliau terus jatuh cinta dengan karya ini dan mengatur supaya sebuah buku berasingan dapat menemui pembaca baharunya secara lebih indah dan penuh martabat.
Dengan wajah yang dicantikkan reka bentuk, lukisan cat air dan juga sajak itu sendiri muncul sebagai sebuah karya yang penting. Inilah karya yang pertama yang melukis rupa dan memberikan ruang kepada falsafah rumit rumah Melayu. Rumah Melayu ini banyak variasinya, tetapi pada dasarnya, agak sama di seluruh Riau dan Semenanjung, sampailah ke Pattani dan juga pesisir Sabah dan Sarawak, tempat orang Melayu tinggal dan membina rumahnya.
Sebuah rumah ialah satu falsafah kehidupan, yang dikutip daripada pengalaman panjang di tepi air, di tanah paya, atau di lereng bukit. Rumah juga dibina untuk disesuaikan dengan cuaca, air yang pasang dan surut, banjir dan kemarau. Rumah juga disesuaikan dengan panas dan sejuk musim yang berubah, dengan kering dan lembap. Terbiasa dengan alam terbuka, air yang selalu hadir, maka rumah ini menyusun dirinya untuk berhadapan dengan sungai dan laut. Ilmu hubungan bumi dengan rumah atau feng shui Melayu juga berkembang daripada pengalaman yang panjang ini.
Tenas Effendy, pujangga Riau, tumbuh daripada budaya tempatan yang lama, dan daripada bangsawan yang mengenali dan mencintai sudut halus dan canggihnya. Mungkin beliaulah sahaja yang masih dapat mengingati semua ini dan dapat pula menjayakannya dalam sebuah karya yang cukup panjang.
Karya ini terus masuk ke dalam konsep rumah dan memerikan rumah bertiang tiga dan ciri lainnya. Tenas tidak menunggu lama di permulaan, tetapi cepat membuka pintu dan masuk ke dalam. Pengenalannya cukup teknikal – mungkin agak cepat – dan kita pun disambut oleh berbagai-bagai istilah yang sangat indah, tetapi juga berderet, seperti benteng antara kita dengan rumah yang ingin kita masuki. Setelah beberapa bait, baru kita muncul dan berkenalan dengan rumah itu secara lebih teratur. Fungsi rumah itu dibayangkan sebagai:
Di situ berlabuh kaum kerabat,
Di situ bertambat sanak saudara,
Di situ berhenti dagang lalu.
Puisi ini seterusnya melompat kepada empat cahaya di bumi dan betapa rumah ada adatnya.
Tenas maju lagi ke bahagian rumah yang lain – beberapa bentuk perabung dan lentiknya (yang berlainan daripada Minangkabau, yang melukis tanduk kerbau) – sementara mengikut orang Melayu, rumah Riau itu meniru bentuk perahu kerana mereka orang maritim.
Bahagian seterusnya membincangkan bumbung – bentuk lima yang berbagai-bagai dan kajangnya yang menjadi penahan hujan. Binaannya cukup rumit, demikian pulalah nama bahagian serta bentuknya – daripada Limas Penuh kepada Lipat Pandan.
Ilmu arah dan letak rumah Melayu muncul dalam baris berikutnya: arah mata angin diselarikan juga dengan tuah, rezeki dan nasib.
Kalau rumah menghadap timur,
Bagai lukah di pintu air,
Pagi direndam, petang berisi,
Petang direndam, malam penuh.
Namun begitu, arah selatan tidak sebaik timur, malah kebalikan daripadanya, dan harus dijauhi.
Rumah tradisional hampir seluruhnya terbuat daripada kayu, melainkan atapnya. Jadi kayu ialah bahan terpentingnya. Tukang harus mengenali watak dan sifat kayu, dan memilih yang sesuai, yang tahan lama dan meminjamkan sifatnya supaya rumah yang dibina itu cantik, sihat, dan membantu memupuk watak manusia. Ada banyak kayu yang harus dielakkan: yang dililit akar, yang digeret kumbang, yang berlubang panjang, yang berbunga lebat, dan yang rebah.
Untuk seseorang tukang, ukuran bangunan sangat penting. Tenas menurunkan ukuran dalam seni pembinaan:
Tinggi rumah sepemikulan,
Terpikul bendul yang empat,
Terpikul lalang berumpal,
Tak bertingkah tungku di dapur,
Tak tersingkap kain di pinggang.
Tinggi rumah juga ada makna dan sifat baik buruknya. Kalau seperjunjungan, misalnya, maka:
Terjunjung Adat dengan Lembaga,
Terjunjung harta dan pusaka,
Terjunjung pinta dan bagi.
Kasaunya pula harus…tergantung atas kepala
Memikul atap dengan bumbungnya,
Memikul hujan dengan panas,
Memikul aib dengan malu…
Sebuah rumah ialah sehimpunan simbol dan lambang. Tukang yang akan membinanya merujuk simbolisme ini. Yang terjelas sekali ialah tiang yang mendirikan dan menyanggah rumah itu. Tiang seri menegakkan rumah, sementara tiang penghulu ialah tempat “bersandar datuk”. Tiang tua juga menjadi tempat adat “dipalangkan”. Tiang lain, seperti tiang tengah, tiang bujang, tiang dua belas dan tiang bulat, semua membawa tugas dan maknanya yang tersendiri.
Antara pemerian yang paling menarik termasuklah tentang tangga, bahagian hadapan rumah yang diperlihatkan kepada pengunjung, saudara mara dan semacam pengalu-alu orang yang datang.
Leher tangga berpangguk pada bendul,
Kepala bersandar di jenang pintu,
Anak bersusun bertingkat-tingkat,
Tempat adat meningkat naik,
Tempat pusaka melangkah turun,
Tempat mengisik-ngisik debu,
Tempat membasuh-basuh kaki.
Pemeriannya paling terperinci di sini dan bahasa Tenas mengalir atau menaiki tangga garis lukisannya, menggirangkan pembaca, dan menemani perasaannya untuk berdiri di hadapan atau di anak tangga untuk menaiki ke bendul rumah.
Seterusnya ruang yang empat di dalam rumah dibincangkan pula, dengan nama khususnya. Kita masuk ke pelantar yang sebenarnya menjadi ruang luar, tetapi akrab dan mesra dengan bahagian rumah di atas. Selasar lebih formal daripada pelantar dan menjadi perantara antara alam dengan rumah, biasanya berhias, “tempat berunding dengan sahabat/ tempat bermain budak-budak/ tempat gelak berderai-derai.”
Kita terus ke ruang muka, tengah, dan dalam, dengan fungsinya yang tertentu. Misalnya, ruang tengah:
Tempat duduk berlunjur kaki,
Tempat melurus-luruskan pinggang,
Tempat terhampar tikar putih,
Tempat hidangan dua susun.
Ini juga ruang tidak formal, lebih dikhususkan untuk ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan rapat.
Sekarang kita bergerak ke halaman, ruang yang sama penting kepada orang Melayu, seperti ruang dalamnya. Di sini ada pagar puding, nyiur pantai, tebu. Di sini ayam “berkotek dan berlentik serindit jantan peliharaan”, dan tempat pengunjung mula tiba.
Setelah itu, bidai diberi ruangnya dan disambung pula oleh selasar, perabung, dan kajang atap yang juga berbagai-bagai bentuk dan namanya.
Antara jenis lantai yang mendapat perhatian termasuklah lantai selari, tempat:
Selari bini dengan laki,
Setukal cakap keduanya,
Sedencing bak besi,
Seciap bagai ayam.
Akhirnya si lembayung, simbol rumah Melayu yang agah, meniru alam, dan bentuk paku pakis. Ini menjadi pernyataan peribadi dan juga penghalus, selain penanda rumah yang indah. Berbagai bagai nama yang diberikannya:
Lebah bergantung, Ikat berlilit, Ikat galah.
Pintu – inilah tempat masuk manusia beradat dan adat itu sendiri. Ada berbagai-bagai jenis pintu, termasuk pintu malim (dalam Hikayat Hang Tuah istilahnya ialah “pintu maling”) dan pintu borak. Tingkap menyerikan pintu ini dan diperikan oleh Tenas dengan baik sekali.
Dari tingkap kita masuk ke bilik, iaitu sesuatu bahagian yang pernah ada di dalam rumah Melayu, tetapi sangat langka – mungkin sebuah sahaja yang dibina – untuk tuan rumah dan isterinya. Ruang lain ialah yang terbuka, sesuai dengan cuaca tropika dan tidak pentingnya kebersendirian (privacy) (konsepnya tidak ada pun dalam bahasa Melayu!) dengan kelambunya. Sudut mana-mana pun dapat dijadikan tempat tidur, dan dengan sehelai tikar, di mana-mana pun dapat dijadikan tempat berehat.
Buku ini ada tiga titik persoalannya. Yang pertama, tema rumah Melayu yang rumit, penuh simbolisme, dan seni pembinaannya. Saya kira bahawa Tenas telah menjadikan kita lebih arif tentang makna di belakang pintu dan tingkap rumah Riau. Rincinya memperlihatkan fahaman yang mendalam terhadap seni tersohor ini.
Yang kedua ialah persoalan sajak ini sebagai sajak – adakah diambil dari kampung atau dikarang oleh Tenas sendiri? Hal ini sangat baik jikalau dijelaskan pada awalnya, terutama kerana Tenas ialah pengkaji dan pengumpul yang sangat tekun dan penuh dedikasi. Baik juga diberikan sumbernya atau proses penciptaan (kembali) dan penyelidikannya sekiranya ini karya aslinya.
Yang ketiga dan sama pentingnya ialah terjemahan. Saya menganggap bahawa penterjemahan pantun dan Sulalat al salatin itu kerja yang hampir-hampir mustahil dilaksanakan. Namun demikian, penterjemahan buku ini sepenuhnya sesuatu yang mustahil buat saya. Kita menghadapi beberapa masalah besar sewaktu memasuki sajak Melayunya. Pengertian, makna, dan bahagian yang tidak dibezakan kerana mungkin diambil daripada tradisi lisan yang tidak menawarkan tanda berhenti
Itulah yang dikutip daripada zaman yang menipis dan mungkin kita tidak akan mendapatkannya kembali. Jadi kepada Tenas kita harus mengucapkan terima kasih kerana telah menyelamatkannya daripada hakisan waktu dan pengabaian oleh bangsanya, walaupun tidak lengkap atau tersusun rapi. Banyak orang yang terlibat yang mengeditnya, yang memperkenalkannya, dan yang melukisnya. Terima kasih kepada mereka.
Akhir sekali, Raimy Che Ross harus mencipta korpus nama bahagian rumah Melayu dalam bahasa Inggeris supaya pembacanya dapat memahami sebanyak yang mungkin daripada isi yang sangat teknikal ini. Yang lebih rumit pula ialah bahagiannya bukan sahaja bahagian jelas daripada sesuatu ilmu teknikal pembinaan, tetapi diberikan nama puitis dan metaforikal. Pada banyak bahagian, kita berterima kasih kepada Raimy kerana terjemahannya memberikan fokus yang lebih tajam. Kepadatan bahasa Melayu dan metaforanya sering pula memaksa Raimy meninggalkan metafora atau nama khusus asal ini di tengah-tengah ayat dan menyusun glosari di hujungnya.
Sememangnya hal ini kurang menyenangkan pembacaan, tetapi mungkin tiada jalan lain lagi, melainkan sajak itu dipanjangkan dan ditambah dengan penjelasan dan huraian yang agak panjang lebar. Hal ini akan merobah struktur dan kepadatan aslinya. Walau bagaimanapun, Raimy cukup berjaya pada tempat yang dikerjakannya dengan susah payah dan pasti mengambil waktu yang sangat panjang.
Akhirnya syabas kepada Areca Books kerana menerbitkan sajak ini selengkapnya dengan ilustrasi yang baik serta terjemahan yang memperlihatkan ketekunan yang luar biasa. Kepada Tenas, sahabat yang saya hormati dan sanjung, terima kasih kerana menyimpan budaya kita dalam pustaka besar yang dikumpulkan puluhan tahun, dan kini kita dapat menikmatinya oleh sebab Tenas mengumpulnya bagi orang Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Mungkin juga pada penerbitan ulangannya, pembaca dapat dibantu dengan menjarakkan atau memisahkan bahagian yang kini selari berterusan dan memberikan pengenalan dan tanpa penutup (oleh Tenas sendiri). Baik juga kalau lukisanlah yang dijadikan pemisah antara bahagiannya dan oleh itu juga, menjadi gambar pengenalan bahagian yang akan dibincangkan.
Dewan Budaya, Bil. 7, 2014: 20-3