Hari Wilayah: Makna dan sejarah yang dilupakan February 18, 2019 – Posted in: In The News – Tags: Battle of Kuala Lumpur, Bukit Nanas, history, Kampung Kerinci, Kuala Lumpur, Sutan Puasa
APAKAH makna pengisytiharan Hari Wilayah kepada warga kota khususnya Kuala Lumpur, selain daripada cuti umum? Cuti adalah waktu untuk kita berehat, melepaskan sementara beban-beban kerja, melegakan minda juga lenguh-lenguh badan selepas beberapa hari ‘berperang’ di pejabat dan dalam kesesakan jalan raya.
Namun cuti juga membawa makna tersendiri khususnya jika ia disempenakan peristiwa tertentu. Hari Wilayah contohnya, yang kita sambut setiap hari pertama bulan Februari adalah hari untuk kita mengingati penubuhan Wilayah Persekutuan pada tarikh sama empat puluh lima tahun lalu dengan Kuala Lumpur dinubatkan sebagai wilayah pertamanya.
Mengingati hari tersebut, tidak dapat tidak, kita harus melihat lebih jauh daripada sekadar tarikh 1 Februari 1974. Sebaliknya, sejarah Kuala Lumpur berusia lebih 150 tahun ada di sana untuk dihayati dan dipelajari sebaiknya demi panduan hari ini dan hari-hari mendatang.
Sebelum dijadikan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur adalah pusat pentadbiran negeri Selangor sejak tahun 1830; amal banyak ditentukan oleh faktor kepesatan ekonominya yang dipacu aktiviti pelombongan bijih timah – terima kasih kepada kaum Mandailing dari Sumatera dan Hakka dari Tanah Besar China yang mempelopori kegiatan ini di tebing-tebing Sungai Lumpur.
Pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak membentuk delta subur di datarannya. Melahirkan petempatan-petempatan baru dan kampung-kampung di sepanjang sungai merancakkan perdagangan sehingga membuka jalan-jalan baru seperti Java Street (Mountbatten Road/Jalan Tun Perak), Market Street (Lebuh Pasar Besar) dan lain-lain.
KL terbakar
Perlombongan bijih timah di negeri ini berkembang maju sehingga menjadi antara pengeluar bijih timah terbesar di dunia. Kekayaannya melimpah sehingga dimanfaatkan Negeri-negeri Selat di Tanah Melayu dan mula mendapat perhatian kuasa kolonial dan imperialis lnggeris.
Sebagai memenuhi resam aturan sejarah yang berputar seperti roda, Kuala Lumpur tidak selamanya tenang. Kemakmuran hidup warganya diuji lewat perebutan kuasa bangsawan dan saudagar. Persaingan merebut wilayah perdagangan dan krisis politik mencetuskan Perang Kelang sekitar tahun 1867 hingga 1873 antara dua kerabat diraja, Raja Abdullah dengan Raja Mahadi.
Perang telah membakar Kuala Lumpur. Warganya meninggalkan kota ini mencari perlindungan ke negeri-negeri lain sebagai pelarian. Aktiviti ekonomi terbantut seketika. Inggeris mula masuk, namun bukanlah tanpa ajakan pembesar, Tengku Kudin yang menyertai kem Raja Abdullah dalam perang saudara yang berlanjutan selama enam tahun itu.
Kisah perang seterusnya dalam sejarah merakam sama pertentangan antara pendiri Kuala Lumpur. Sutan Puasa di kem Raja Mahadi dengan kapitan Cina ketiga Yap Ah Loy di kem Tengku Kudin. Tidak ketinggalan kebijaksanaan Raja Asal, sekutu Sutan Puasa menanam nanas di sekeliling kubunya di atas bukit bagi menyukarkan kemaraan musuh. Bukit itu kemudiannya dinamakan Bukit Nanas dari nama asalnya Bukit Gombak.
Juga kisah terowong rahsia di sana yang dikatakan ada kaitan dengan Perang Kelang. Tempat persembunyian orang Mandailing selain dijadikan stor menyimpan senjata, makanan, laluan menyelamatkan diri juga tapak melancarkan serangan balas terhadap musuh.
Penemuan terowong ini pada tahun 2013 seharusnya menyemarakkan gerakan kesedaran sejarah di kalangan warga Kuala Lumpur khasnya, dan masyarakat Malaysia, amnya. Namun, sayangnya ia tidak berlaku.
Mengulas isu ini, sejarawan dan penulis buku Sutan Puasa, Founder of Kuala Lumpur (2018), Abdur Razzaq Lubis berkata, warga Kuala Lumpur hendaklah disosialisasikan, dibudayakan, disermarakkan, atau dimartabatkan lewat pendidikan baik secara bertulis sama ada dalam persuratan mahupun pemuziuman.
Ini jelasnya, bagi membolehkan penduduk untuk mengenali tukuh-tukuh terkemuka seperti Sutan Puasa dan peninggalan-peninggalan sehubungan dengannya seperti terowong di Bukit Nanas. Makamnya di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang, malah sosok ibukota bersejarah Kuala Lumpur.
Namun katanya, kesedaran sejarah yang rata-ratanya rendah dikalangan warga kota adalah lantaran ramai penduduknya bukanlah berasal dari Kuala Lumpur atau Selangor sebaliknya merupakan perantau dari negeri-negeri lain.
Kedua, peranan pihak berwajib juga kurang di-mainkan dalam urusan ini walaupun pada 2018 Oktober tahun lalu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada menganjurkan Seminar Sejarah Kuala Lumpur untuk membincangkan perkembangan kota raya ini dari dahulu sehingga sekarang, jelas beliau.
Tiada pertimbangan sejarah
Menerangkan lanjut, beliau percaya DBKL masih kurang berperanan terutama dalam merencana pembangunan Kuala Lumpur tanpa mangabaikan aspek sejarahnya. “Kalau dilihat dari sisi atau kacamata ini, DBKL nampaknya tidak mempunyai pertimbangan sejarah dan budaya dalam perancangan rnereka. Satu lagi kes yang menguatkan tanggapan ini ialah bagaimana Kampung Kerinchi boleh bertukar nama dari Kampung Kerinchi ke Bangsar South (dengan izin DBKL?)“
“Dan pupus atau musnahnya bangunan-bangunan di KL untuk memberi jalan kepada pembangunan yang dianggap oleh sesetengah kalangan sebagai tidak mempedulikan, memperhilangkan, membelakangkan alau menidakkan warisan budaya KL termasuk Kampung Baru” katanya kepada Suara Keadilan.
Selain pihak berwajib, pengarang yang banyak menulis sejarah kaum Mandailing ini juga mahu persatuan-persatuan sejarah memainkan peranan pro-aktif bagi mangetengahkan peri pentingnya sejarah dan budaya keperibumian dalam perancangan dan pembangunan bersepadu Kuala Lumpur.
Menyentuh isu pembangunan Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekuluan, Khalid Samad berkata, di dalamnya terkandung falsafah-falsafah tertentu selain ia perlu memenuhi fungsi bandar raya itu sendiri dengan menyediakan perumahan, infrastruktur, pengangkutan, dan sebagainya.
Menyebut Pelan 2040 yang akan membincangkan perancangan pembangunan Kuala Lumpur, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu walaubagaimanapun tidak mengesampingkan peninggalan sejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan lain-lain, sebaliknya mengakui ia perlu dijaga dan dipelihara sebagai warisan.
Ditanya tentang pengkisahan sejarah panjang Kuala Lumpur kepada generasi baru, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata pihakya akan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara dalam urusan tersebut.
“Perkara ini kita boleh minta kerjasama ataupun kita boleh cuba berunding dengan Jabatan Warisan Negara untuk mengenalpasti tempat-tempat bersejarah dalam Kuala Lumpur bagi menghidupkan semula kawasan bersejarah termasuklah Sejarah Kuala Lumpur dan sebagainya,” katanya kepada Suara Keadilan. — Haizir Othman
Artikel ini mula-mula diterbitkan dalam Suara Keadilan pada 13 Februari 2019.