Punca identiti Melayu sukar diterapkan dalam seni bina June 25, 2018 – Posted in: In The News – Tags: Malay, Malay architecture, Malay house, Traditional architecture
Identiti Melayu sukar untuk diterapkan dalam seni bina Malaysia berikutan kurangnya generasi muda Melayu yang tahu mengenai seni dan budaya bangsa.
Hal itu menjadi semakin rumit kerana kebanyakan pemaju juga bukan dalam kalangan orang Melayu, selain kos pembinaan seni bina tradisional amat tinggi.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim, berkata bagaimanapun dalam hal ini menyalahkan generasi muda sebagai tidak peduli atau tidak menghargai budaya sendiri adalah tidak tepat.
“Generasi muda hari ini tidak pernah diajar untuk menghargai budaya sendiri. Mereka sudah dicuci dan dibasuh untuk melihat apa yang ada di luar budaya mereka itu sebagai lebih baik.
“Kita sepatutnya bertindak seperti Jepun, mengajar tamadun bangsa termasuk soal kepatuhan dan kebersihan misalnya pada peringkat awal lagi,” katanya dalam sidang media selepas Forum Kelestarian Warisan Senibina Melayu anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose; Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dan Ketua Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina, Prof Datuk Alias Abdullah.
Rais berkata, selain ilmu agama sepatutnya anak-anak muda diajar tentang budaya dan budi Melayu tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang, generasi muda berasa ganjil dengan budaya tempatan.
“Kementerian Pendidikan perlu melihat hal ini kerana jika tidak kita akan hilang anak muda ini pada nilai yang datang dari luar,” katanya.
Tambah Rais, dalam skop pengajian bidang seni bina di universiti pun, pengajaran tentang seni bina Eropah lebih banyak didedahkan.
“Jadi bagaimana hendak kekalkan identiti Melayu ini? Kita perlu semak semula silibus dan mengembalikan kebudayaan,” katanya.
Terdahulu daripada itu, Rais melancarkan buku The Resilience of Tradition karya Dr Shireen Jahn Kassim, Dr Norwina Mohd Nawawi dan Dr Noor Hanita Abdul Majid.
Buku setebal 273 halaman itu antara lain mendokumentasikan seni bina Melayu di Semenanjung Malaysia. – Hafizah Iszahanid
This article first appeared in Berita Harian on 3 August 2017.