Sutan Puasa pengasas sebenar Kuala Lumpur? April 23, 2018 – Posted in: In The News – Tags: areca books, Battle of Kuala Lumpur, Biography, Cultural Heritage, culture, heritage, history, Kanching, Kuala Kubu, Kuala Lumpur, Malaysia, Malaysiana, Malaysiana. Tags: Ampang, Mandailing, Petaling, Politics, Raja Abdullah, Rawang, Recommended, Social History, Sutan Puasa, Ulu Klang, urban history, Yap Ah Loy
KUALA LUMPUR: Memperbetulkan sejarah amat sukar dan itulah yang berlaku dalam isu berkaitan pembuktian siapa pengasas sebenar Kuala Lumpur.
Dakwaan ia diasaskan Sutan Puasa, usahawan perlombongan dan pedagang timah berketurunan Mandailing dari Sumatera, Indonesia bukan sesuatu yang mudah diterima.
Ini kerana selama ini, ahli sejarah Malaysia berpendapat Yap Ah Loy, seorang Kapitan Cina, adalah pengasas bandar raya ini yang asalnya kawasan perlombongan bijih timah.
Membetulkan fakta berkenaan sama dengan kesukaran menyanggah kajian yang merumuskan Pulau Pinang dibuka Francis Light, selain fakta Singapura diterokai Stamford Raffles dan James Cook membuka Australia.
Dalam hal berkaitan Kuala Lumpur, buku tulisan Abdur-Razzaq Lubis, berjudul Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur mendedahkan maklumat baharu berhubung sejarah ibu negara Malaysia.
Ini diakui Profesor Emeritus Penyelidikan dan Geografi Asia dari University of British Columbia di Vancouver, Kanada, Terry McGee.
Dalam prakata untuk buku berkenaan, beliau ada menyebut bahawa hasil kajian Abdur-Razzaq itu memberi interpretasi baharu berhubung sejarah awal Kuala Lumpur dan daerah pedalamannya.
McGee sendiri banyak membuat penyelidikan mengenai proses perbandaran orang Melayu di Kuala Lumpur dan Semenanjung Tanah Melayu pada 1960-an untuk pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).
Buku berkenaan memberi fokus terhadap peranan Sutan Puasa semasa era awal aktiviti perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur pada pertengahan kurun ke-19.
Abdur-Razzaq berkata, penulisan naskhah itu adalah usahanya melakukan kajian kesarjanaan bagi membuktikan data dan fakta mengenai pengasas sebenar Kuala Lumpur.
Katanya, ia sekali gus menolak penamaan Yap Ah Loy atau Raja Abdullah yang juga Orang Besar Jajahan Klang sebagai pengasas ibu negara Malaysia seperti diterima dalam kebanyakan teks hari ini.
“Yap Ah Loy digulingkan dan diturunkan daripada ‘takhta’ sebagai pengasas Kuala Lumpur, kemudian diangkat dan dicalonkan pula Raja Abdullah, tetapi ia tidak dibuktikan.
“Kita tahu polemik akan timbul (fakta Sutan Puasa pengasas Kuala Lumpur), malah ada yang sudah mula menolak naskhah ini tanpa membacanya terlebih dulu.
“Bagaimanapun kajian saya ini akan membuktikan secara ilmiah mengenai individu sebenar yang menjadi pengasas Kuala Lumpur, iaitu Sutan Puasa,” katanya pada majlis bicara buku tulisannya itu di Galeri Petronas, di sini hari ini.
Abdur-Razzaq berkata, penulisannya mengenai Sutan Puasa atau Sutan Naposo, mengambil masa lebih lima tahun untuk disempurnakan disebabkan pelbagai cabaran dalam membuat kajian dan mendapatkan bahan rujukan.
“Meskipun Sutan Puasa tidak berkahwin, beliau membawa sekali anak saudaranya dikenali Haji Jafaar, ketika berhijrah ke Tanah Melayu dan daripada situ, keturunan Sutan Puasa berkembang di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi terkenal tanah air yang juga keturunan Sutan Puasa, Datuk Sheila Majid, berkata beliau sudah mendengar cerita sumbangan Sutan Puasa dalam membuka Kuala Lumpur oleh ibu dan bapa saudaranya sejak kanak-kanak lagi.
“Sutan Puasa wira dalam keluarga kami, tetapi kami tidak dapat memberitahu orang lain mengenainya kerana kami tidak mempunyai rujukan dan ia mungkin juga tidak akan dipercayai.
“Saya gembira kerana Abdur-Razzaq membuat kajian komprehensif ini, sekali gus dapat menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan Sutan Puasa sebagai individu yang bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur,” katanya.
INFO
Buku Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur
- Setebal 615 muka surat, turut memuatkan peta dan gambar lama Kuala Lumpur
- Bermula dengan bab bertajuk ‘The Naming of Kuala Lumpur’.
- Antara lain menyentuh sejarah Sungai Lumpur dan Pangkalan Lumpur, dua nama sering digunakan dalam dokumen lama.
- Bab Dua menyentuh beberapa nama disebut sebagai pengasas Kuala Lumpur, termasuk Yap Ah Loy; Kapitan Cina pertama, Hiu Siew dan Raja Abdullah.
- Bab Tiga dan seterusnya menyentuh peranan Sutan Puasa, orang Mandailing pada zaman awal kewujudan Kuala Lumpur.
— Mohd Azrone Sarabatin dan Siti Haliza Yusop
This article first appeared in Berita Harian on 8 April 2018