Tokoh di sebalik pembukaan KL April 19, 2018 – Posted in: In The News – Tags: Ampang, areca books, Battle of Kuala Lumpur, Biography, Cultural Heritage, culture, heritage, history, Kanching, Kuala Kubu, Kuala Lumpur, Malaysia, Malaysiana, Mandailing, Petaling, Politics, Raja Abdullah, Rawang, Recommended, Social History, Sutan Puasa, Ulu Klang, urban history, Yap Ah Loy
NAMA Raja Abdullah Raja Jaafar seperti yang tercatat dalam buku teks sejarah dikenali umum sebagai pengasas Kuala Lumpur.
Bahkan Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi ke-28 anjuran Arkib Negara pada 13 Disember 2012 turut menyimpulkan bahawa Raja Abdullah merupakan individu pertama yang meneroka ibu negara.
Biarpun kajian akademik mengesahkan Raja Abdullah sebagai tokoh yang bertanggungjawab membuka ibu kota, namun terdapat hujah dan pendapat yang menyatakan orang yang lebih berperanan ialah Yap Ah Loy.
Beliau yang dilantik sebagai Kapitan Cina ketiga bermula dari 1868 hingga 1885 turut disebut-sebut sebagai pengasas Kuala Lumpur di atas jasanya membangunkan wilayah tersebut.
Begitu pun, pedagang dari China itu tidak mendapat pengiktirafan berkenaan atas alasan beliau bukanlah individu pertama menemui lombong bijih timah yang seterusnya membawa kepada pembukaan dan kemajuan Kuala Lumpur seperti hari ini.
Menurut Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Raja Abdullah merupakan tokoh yang bertanggungjawab terhadap pembukaan dan kemajuan Kuala Lumpur pada hari ini.
“Jika tidak kerana penerokaan bijih timah yang dilakukannya mungkin Kuala Lumpur tidak wujud sama sekali,” katanya.
Pandangan itu diterima pakai oleh sebahagian besar masyarakat di negara ini, namun persoalan mengenai tokoh sebenar yang membuka Kuala Lumpur terus diperbahaskan sehingga ke hari ini.
Antara yang menarik perhatian tentulah peranan seorang saudagar berketurunan Mandailing dari Sumatera, Indonesia bernama Sutan Puasa.
Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dalam beberapa wacana intelektual beberapa tahun lalu turut menyebut bahawa Sutan Puasa lebih layak dianggap sebagai pembuka Kuala Lumpur sekali gus menolak penamaan Yap Ah Loy dan Raja Abdullah.
Interpretasi baharu tentang sejarah awal ibu negara itu telah dikuatkan dengan penerbitan buku Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur tulisan Abdur-Razzaq Lubis yang dilancarkan pada 7 April lepas.
Naskhah itu menyatakan teori pembukaan Kuala Lumpur oleh Sutan Puasa berdasarkan kewujudan penempatan masyarakat Mandailing di Pangkalan Lumpur (kini Kuala Lumpur) sebelum kedatangan Raja Abdullah dan pedagang Cina.
Sebagai rekod, Buyong Adil dalam Sejarah Selangor menyatakan Raja Abdullah membuka lombong bijih timah di tebing persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak pada tahun 1857 manakala Ah Loy hanya datang ke Kuala Lumpur pada 1862.
Tradisi Pai Kolang
Abdur-Razzaq dalam bukunya mendakwa, Kuala Lumpur ketika itu sudah berkembang maju dan dikuasai oleh masyarakat Mandailing serta Rawa dari Sumatera, Indonesia.
Pada masa sama, menurutnya, aktiviti pertanian dan perdagangan turut dijalankan di sekitar kawasan penempatan tersebut.
“Justeru, bukan Raja Abdullah tetapi orang Mandailing yang membuka Kuala Lumpur,” katanya.
Bagi menguatkan fakta tersebut, Abdur-Razzaq yang mesra dengan panggilan Pak Lubis turut memetik buku berjudul Kuala Lumpur dari Perspektif Haji Abdullah Hukum tulisan Adnan Nawang.
“Apabila Abdullah Hukum pertama kali tiba di Kuala Lumpur pada 1850, ia sudah membangun. Kuala Lumpur pada masa itu sibuk cara zaman dahulu.
“Rumah-rumah kedai ketika itu (memiliki) atap bertam dan dinding buluh. Orang yang berniaga di situ seperti menjual kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu bangsa Rawa dan Mandailing manakala ketuaan (pemimpin) masa itu ialah Sutan Puasa dibantu Raja Bilah. Kedua-dua ketua itu mengutip (cukai) hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Klang atau Sungai Gombak,” katanya.
Menyentuh sedikit mengenai penghijrahan masyarakat Mandailing dari Sumatera ke Tanah Melayu, Pak Lubis memberitahu, ia didorong oleh beberapa faktor antaranya tradisi Pai Kolang dan Perang Padri yang tercetus di Sumatera antara 1803 hingga 1845.
Menurutnya, semasa abad ke-15, Melaka dan daerah pedalamannya menjadi destinasi tumpuan masyarakat Mandailing khususnya anak muda untuk berhijrah bagi mencuba nasib dalam perlombongan emas dan bijih timah. Tradisi itu dikenali sebagai Pai Kolang atau bermaksud pergi ke Klang.
“Bagaimanapun, malapetaka Perang Padri menyaksikan penghijrahan lelaki, wanita dan kanak-kanak secara besar-besaran dari kampung terjejas.
“Aliran migrasi ini mencapai kemuncaknya semasa perang dan permulaan pendudukan Belanda sebelum reda selepas penjajah mengukuhkan kuasa di pantai barat Sumatera,” katanya yang mengambil masa lebih lima tahun untuk menyiapkan buku tersebut.
Berbalik kepada penguasaan Sutan Puasa, Pak Lubis memberitahu, anak lelaki ketua wilayah Tobang, Mangaraja Iro Koling itu membangunkan Kuala Lumpur dan kawasan sekitar dengan menugaskan pembinaan infrastruktur seperti terusan pengairan, benteng dan kemudahan lain.
Sutan Puasa atau Sutan Naposo turut membuka kawasan di hulu Sungai Tapak (kini Setapak) dan Hulu Gombak dengan membersihkan hutan serta menyediakan ladang pengairan bagi penanaman padi.
“Sutan Puasa bertindak sebagai penyumbang dengan menawarkan pekerjaan kepada pendatang baru serta memberi peluang kepada mereka untuk bekerja di sawah padi hingga musim menuai berikutnya. Dengan cara ini, penduduk Kuala Lumpur berkembang,” kata Pak Lubis.
Bertutur lanjut, Pak Lubis memberitahu, pentadbiran Sutan Puasa dengan dibantu Raja Bilah pada masa tersebut secara tidak langsung meluaskan pengaruh Sutan Puasa dalam kalangan pedagang Cina.
Menurutnya, pada Julai 1951, S.M Middlebrook menerusi buku bertajuk Yap Ah Loy menyatakan dua pedagang Cina dari Lukut iaitu Hiu Siew dan rakannya, Ah Sze Keledek datang ke Ampang pada awal tahun 1859 melalui jemputan Sutan Puasa.
“Ketua orang Mandailing itu sendiri telah menjemput Hiu Siew dan Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan dan sama-sama membangunkan wilayah tersebut,” katanya.
Sokongan
Catatan sejarah terus menyebut bahawa Hiu Siew kemudiannya dilantik menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur pertama pada 1858 sebelum meninggal dunia pada 1862 dan diganti oleh Liu Ngim Kong.
Kay Kim memberitahu, pelantikan Hiu Siew pada era itu mendapat sokongan Sutan Puasa.
Bahkan, katanya, pelantikan Ah Loy sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur ketiga turut mendapat sokongan daripada Sutan Puasa walaupun ada dalam kalangan orang Cina menentang pelantikan itu.
“Meskipun tidak disukai sebagai pengganti Ngim Kong tetapi dengan sokongan Sutan Puasa yang amat berpengaruh di Kuala Lumpur, Ah Loy berjaya menguasai keadaan,” katanya kepada Jurnal.
Dalam hal ini, Kay Kim berpendapat peranan penting yang dimainkan Sutan Puasa dalam sejarah awal Kuala Lumpur menjadikannya individu yang lebih layak diiktiraf sebagai pengasas ibu negara.
“Secara logik, bagaimana Ah Loy boleh membuka kawasan itu sedangkan beliau dilantik sebagai Kapitan Ketiga, bagaimana taraf dua lagi kapitan sebelum itu,?” tegasnya.
Ditanya kenapa pula bukan Raja Abdullah, Kay Kim berkata, Raja Bugis dari Riau itu dipilih menjadi ketua kerana diberi kuasa oleh Sultan Selangor ketiga, Sultan Muhammad Shah untuk memerintah Klang pada masa itu.
Senada dengan Kay Kim, Pengerusi Pertubuhan Majlis Antarabangsa mengenai Monumen dan Tapak Malaysia, Datuk Hajeedar Abdul Majid berkata, Ah Loy hanya bertanggungjawab membangunkan semula Kuala Lumpur.
Menurutnya, sejarah yang wujud sekarang banyak mengambil pandangan barat dan sejak di bangku sekolah lagi semua generasi beranggapan bahawa Kuala Lumpur dibuka oleh Ah Loy.
“Tetapi tidak dinafikan, beliau membantu membangunkan ibu kota yang lumpuh selepas Perang Saudara Selangor yang meletus hingga tahun 1873. Jadi, perlu diberi pengiktirafan di atas jasanya,” katanya.
Hajeedar turut berpendapat, semua kumpulan dan individu terawal di Kuala Lumpur telah memainkan peranan dan pengaruh masing-masing di dalam pembentukan ibu negara hari ini.
“Pelbagai kumpulan etnik Nusantara, komuniti Chettiar, pedagang Cina dan kerabat diraja yang terkenal telah menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka untuk membangunkan ibu kota.
“Oleh itu, sumbangan mereka harus diberi kredit sewajarnya supaya generasi hari ini mendapat gambaran sebenar tentang sejarah negara,” katanya.
Berdasarkan buku Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur, pemimpin komuniti Mandailing itu itu dipercayai tinggal di Batu 4 1/2, Jalan Gombak berhampiran Sungai Gombak, Kuala Lumpur.
Keluarganya percaya rumah itu menjadi kediaman terakhir Sutan Puasa sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Rumah tersebut bagaimanapun dirobohkan sekitar tahun 1984.
Mengikut catatan sejarah Mandailing, Sutan Puasa meninggal dunia pada 14 Ogos tahun 1908 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Meskipun Sutan Puasa tidak berkahwin, beliau membawa sekali anak saudaranya, Sutan Mengatas atau Jaafar ketika berhijrah ke Tanah Melayu dan daripada situ keturunan Sutan Puasa berkembang di negara ini.
Isu mengenai pengasas Kuala Lumpur yang terus dipolemikkan secara tidak langsung membuka ruang kepada sejarawan, cendekiawan dan penyelidik untuk mengkaji semula sejarah ibu negara.
Kerajaan menerusi jawatankuasa khas juga boleh melihat jika ada keperluan untuk menulis semula sejarah untuk tujuan penambahbaikan dari segi fakta.
Kay Kim berkata, buat masa ini, media perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai penemuan baharu dalam bidang sejarah.
Menurutnya, maklumat baharu itu akan menjadi asas dalam memberi tafsiran baharu kepada sejarah pembentukan ibu negara.
Orang yang berniaga di situ seperti menjual kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu bangsa Rawa dan Mandailing manakala ketuaan (pemimpin) masa itu ialah Sutan Puasa dan Raja Bilah. Kedua-dua ketua itu mengutip (cukai) hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Kelang atau Sungai Gombak. — Nor Idayu Bosro
This article first appeared on 14 April 2018 in Kosmo.