Pelancaran Buku Exploring Seberang Perai dan Siri Pameran & Ceramah January 23, 2026 – Posted in: Areca, Excerpts, Newsletters – Tags: , ,

Exploring Seberang Perai terbitan Areca Books dilancarkan pada 20 Julai 2025 di Design Village, Batu Kawan. Naskhah tulisan Khoo Salma ini merupakan sebuah panduan bergambar yang sarat dengan maklumat berkenaan Seberang Perai. Pelancaran ini bukan sahaja menandakan penerbitan sebuah judul baharu yang penting, malah membuka tirai kepada siri ceramah, pameran dan program komuniti yang bertujuan memperkukuh penghargaan masyarakat terhadap landskap, warisan serta kepelbagaian budaya Seberang Perai.

Exploring Seberang Perai dengan terjemahan Bahasa Melayu – Jelajah Seberang Perai, membawa pembaca mengembara keindahan sawah padi, perkampungan nelayan, hutan simpan, kesibukan pusat bandar dan kawasan kejiranan bersejarah di Seberang Perai. Melalui gabungan penyelidikan, fotografi dan naratif penceritaan, buku ini memberi gambaran menyeluruh akan sebuah wilayah yang sering diketepikan berbanding Pulau Pinang, meskipun kaya dengan nilai budaya dan geografi yang mempersona.

Khoo Salma berkongsi minat lama terhadap Seberang Perai dalam mengimbau penerbitan bukunya, The Pictorial History of Province Wellesley pada tahun 2015. Beliau berkata, “Sebagai penduduk Pulau Pinang, kenangan terindah saya tentang Seberang Perai ialah menaiki feri ke Butterworth.” Pengalaman inilah yang mencetus penerokaan lebih mendalam selama bertahun-tahun. Menurut beliau, ramai penduduk Pulau Pinang masih kurang mengenali Seberang Perai. “Tak kenal maka tak cinta. Malah, orang Seberang sendiri juga kurang mengenali bahagian lain di Seberang Perai.”

Sumber Foto: Ewe Guan Hock

Sokongan melalui Program Geran Kecil “Levelling Up Seberang Perai” oleh Think City membolehkan Khoo Salma bersama suami, Abdur-Razzaq Lubis, menjelajah ke seluruh daerah untuk mendokumentasi pelbagai kisah tempatan. Mereka mengunjungi tapak bersejarah, menemubual penduduk dan memeta lokasi-lokasi menarik. Dalam nada berseloroh, beliau turut menyatakan bahawa “banyak makanan dinikmati sepanjang proses penyelidikan ini.”

Khoo Salma turut menekankan potensi besar Seberang Perai. Menurut beliau, “Ramai yang terkejut apabila saya maklumkan bahawa Seberang Perai lebih besar daripada Singapura.” Rekaan kulit buku yang memaparkan Kota Perai memberi penghormatan kepada tradisi penanaman padi, perjuangan anti-kolonial dan semangat kerjasama masyarakat, iaitu nilai-nilai yang menjadi teras kepada identiti Seberang Perai.

Majlis pelancaran diakhiri dengan penghargaan kepada pasukan Areca Books, iaitu Malvina Anthony sebagai pereka buku; Abdur-Razzaq Lubis sebagai penterjemah dan penasihat; Fahmi Mustaffa sebagai penterjemah; serta Siti Nurizzayany selaku pelatih. Penghargaan turut diberi kepada penduduk Seberang Perai yang menyumbang cerita, ilmu tempatan dan layanan mesra sepanjang proses penyelidikan. Mengakhiri ucapannya, Khoo Salma menegaskan, “Seberang Perai akan menjadi masa depan Pulau Pinang. Jangan ketinggalan. Jom, jelajah Seberang Perai!”

Ceramah dan Pameran

Seusai pelancaran, promosi Exploring Seberang Perai diteruskan melalui beberapa sesi ceramah dan pameran di seluruh Pulau Pinang. Pada 17 Ogos 2025, Khoo Salma menyampaikan sebuah ceramah warisan di Penang Heritage Trust, George Town. Beliau memperkenalkan tema dan penyelidikan di sebalik penulisan buku ini kepada para hadirin. Sesi tersebut turut mengupas kepelbagaian landskap dan bandar-bandar utama di Seberang Perai, disusuli dengan sesi autograf yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara langsung dengan penulis.

Program ini diteruskan pada 14 September 2025 di Straits City Concept Centre, Butterworth, dengan dua sesi yang meraikan warisan Seberang Perai. Sesi pertama, Butterworth and Seberang Perai Visited, berlangsung dari pukul 2.30 petang hingga 4.00 petang dan menampilkan ulasan dalam Bahasa Inggeris mengenai perubahan landskap bandar serta budaya di kawasan tersebut. Para tetamu turut menikmati jamuan ringan dan berpeluang menyertai sesi menandatangani buku bersama penulis.

Sesi Bahasa Melayu – Pengkisahan Seberang Perai bermula pada  pukul 4.00 hingga 6.00 petang dan dikendalikan oleh sejarawan, Nabil Nadri. Panelis yang terlibat ialah Khoo Salma Nasution, Mohd Herman Roslan dan Akmal Anas Abd Malek mewakili PESKAP, serta ahli sejarah tempatan iaitu Haji Dahalan Fazil. Para panelis berkongsi kisah, hasil penyelidikan, dan kenangan peribadi berkaitan Seberang Perai. Bagi kedua-dua sesi, ruang pameran buku-buku terbitan Areca turut disediakan. Selain itu, para hadirin berpeluang bertemu penulis, menikmati jamuan ringan dan meneruskan perbincangan yang tercetus daripada buku tersebut.

Melalui penerbitan Exploring Seberang Perai serta siri ceramah dan pameran Areca Books berjaya mencetus minat baharu terhadap landskap budaya dan pembentukan identiti Seberang Perai. Sambutan hangat daripada masyarakat di Seberang Perai dan George Town menunjukkan peningkatan penghargaan terhadap warisan, kisah dan komuniti di wilayah ini. Seiring dengan perluasan capaian buku tersebut, karya ini mengundang semua pihak, termasuk warga Pulau Pinang dan para pengunjung untuk menyelami keindahan, kedalaman serta keteguhan Seberang Perai.

Lampiran gambar adalah daripada Areca Books, kecuali dinyatakan sebaliknya.

Aisyah, 23 Januari 2026

Dapatkan Exploring Seberang Perai, Jelajah Seberang Perai, di laman sesawang Areca Books dan kedai fizikal.

Areca Books Launches Exploring Seberang Perai and a Series of Exhibitions & Talk »