Tauhid ialah menegakkan makna pengEsaan Allāh yang Maha Tunggal dalam diri manusia, dan mengembalikan kesedaran mereka kepada wujudnya Allāh, dan benarnya agama yang dibawa baginda ini. Tauhid inilah yang menjadi lambang perjuangan para nabi sebelum baginda, dan akan terus menjadi perjuangan umat Islam yang ikhlas, ke akhir waktu.
Perjuangan ulama yang diwarisi daripada Rasūlullāh ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam ini, berterusan ke akhir waktu. Mereka merumuskan daripada dua cahaya wahyu – al-Qur’ān dan Sunnah – akan sebuah cabang ilmu yang memfokuskan kepada Sharī‘at Ilmī, yaknilah Ilmu Akidah, atau Ilmu Tauhid, atau Ilmu Kalam (menurut sesetengah tradisi Ahli Sunnah). Terjemahan Uṣūl al-Sunnah karangan Imām Aḥmad bin Ḥanbal (w. 241H) ini, merupakan bahagian daripada mata rantai perjuangan itu.