Zakat tanaman merupakan salah satu jenis zakat harta selain zakat emas, perak, perniagaan, ternakan, kunuz, rikaz, maadin dan sebagainya. Zakat padi adalah satu-satunya sumber zakat tanaman di Malaysia. Berdasarkan garis panduan institusi zakat, zakat padi dikenakan pada kadar lima peratus atau 7.5 peratus atau 10 peratus daripada hasil kasar atau hasil bersih setelah cukup nisab iaitu lima awsuq.
Maklumat dan data untuk penulisan buku Zakat Padi di Malaysia diperoleh melalui kajian lapangan. Kajian lapangan dilakukan bagi memperoleh data primer berhubung amalan taksiran zakat padi di Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam dan Adat lstiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Zakat Kedah (JZK) dan Majlis Agama Islam dan Adat lstiadat Melayu Perlis lMAlPs) serta pengedaran soal selidik kepada petani di Selangor, Kelantan, Kedah dan Perlis. Kajian ini bertujuan untuk meneliti taksiran zakat padi dari sudut teori dan praktis. Secara praktisnya, penulis telah mengedarkan soal selidik kepada petani bagi mendapatkan data dan maklumat berkaitan amalan taksiran zakat padi di Selangor, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Seterusnya, penulis mengemukakan model perakaunan zakat padi yang praktikal berdasarkan analisis data. Model perakaunan baharu dalam taksiran zakat padi adalah penting kerana sekarang ini terdapat tiga model perakaunan zakat padi yang digunakan oleh institusi zakat dalam pengiraan zakat padi. Setakat ini, sudah ada beberapa penulisan mengenai zakat tanaman. Antaranya ialah hasil penulisan Mujaini Tarimin (1990), Zakat Pertanian: Sistem dan Perlaksanaannya dan Mahmood Zuhdi Abd. Majid (2003) berjudul Pengurusan Zakat. Namun, penulisan tersebut belum mencukupi kerana tidak mempunyai data empirikal mengenai zakat padi. la tidak memfokuskan zakat padi secara terperinci dan hanya menerangkan mengenai zakat tanam ataupun zakat harta-harta yang lain.
Dengan itu, pendedahan mengenal harta tertentu secara terperinci amat perlu bagi memberikan kefahaman yang menyeluruh terhadap zakat harta terutamanya zakat padi tanpa merujuk kepada penulisan yang lain. Oleh itu, bab satu dalam buku ini menerangkan beberapa perkara asas mengenai harta-harta yang dikenakan zakat, khususnya pemahaman zakat tanaman sebelum menyentuh perkara-perkara lain dengan lebih mendalam. Perbincangan ini lebih menekankan kepada konsep zakat dan zakat tanaman. Bab dua pula menyentuh tentang pentaclbiran zakat yang meliputi undang- undang induk dan undang-undang subsidiari serta fatwa yang wujud berkaitan zakat tanaman. Seterusnya, pentadbiran zakat di Malaysia yang meliputi badan yang bertanggungjawab menguruskan zakat tanaman akan diterangkan dalam bab tiga manakala bab empat pula menerangkan tentang amalan taksiran zakat padi di empat negeri yang terpilih iaitu Selangor, Kelantan, Kedah dan Perlis. Akhir sekali, dalam bab lima pula penerangan diberikan tentang model perakaunan zakat padi yang sedia terpakai sekarang dan model perakaunan zakat padi yang dicadangkan oleh penulis.