Zadig, Micromegas, dan Candide merupakan tiga cerita satira falsafah yang ditulis oleh Voltaire sebagai parodi, antaranya untuk menyindir institusi pemerintahan, raja-raja dan keagamaan ketika zamannya.
Antara pendekatannya melalui satira-satira ini ialah dengan menampilkan sebuah pengembaraan aneh watak-wataknya, dan dalam masa yang sama menyampaikan kritikan-kritikan yang dihalakan ke beberapa penjuru sosial dan budaya masyarakat sekali gus.
Dari satu sisi, Voltaire juga menganjurkan penyisihan terhadap falsafah optimism – seperti yang ditunjukkan dalam Candide – dalam usahanya untuk menggalakkan lingkungan masyarakat sekeliling bersama-sama memainkan peranan dalam memperbaiki keadaan mereka sendiri.
Voltaire sempat dipenjarakan beberapa kali dan dibuang negeri kerana tulisan-tulisannya yang mencabar status quo.