Menora satu bentuk kesenian yang sangat indentik dengan masyarakat Siam. Dipentaskan sejak turun temurun, menora memiliki banyak ciri estetik yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Muzik dan gerak tarinya menggemulaikan malam-malam dan panggung, lakonannya penuh nilai serta sarat elemen moral yang menyerap masuk membentuk keperibadian serta watak penduduk desa. Ia sejenis hiburan yang sekian lama menghiburkan petani dan nelayan, warga pedalaman mahupun di petempatan pinggir-pinggir sungai. Sesekali memeriahkan juga perayaan-perayaan berskala besar yang sangat mengundang pesona.
Kesenian tradisional ini, kini warisan bangsa yang tiada taranya. Di tengah arus zaman sekali pun diasak kemodenan, menora masih mampu bertahan. Buku ini merakamkan sejarah dan mitos asal usulnya, peralatan dan kostum yang unik lagi khas, kelembutan dan santun tariannya, tidak terkecuali kisah-kisah yang lazim dipersembahkan. Seluruhnya membentuk kesatuan yang memberi pembaca maklumat berharga, namun secara santai dan menghiburkan juga. Seluruh halaman buku ini berwarna. Pengarang memilih langgam bahasa berseni dalam penceritaan selain menggunakan gambar-gambar eksklusif melengkapkan penulisan.