Sebelum Perjanjian Bangkok 1909 yang menyaksikan tapal batas baharu antara British Malaya dengan Siam deiteken berdasarkan Sungai Golo, Kelantan dan Patani adalah “kembar Siam” yang nyaris tak terpisahkan. Kedua- duanya adalah dua buah negeri yang sama, satu dan tak terbahagi. Bukan sahaja dari segi geografi dan sejarah lampaunya, tetapi juga dari segi etnik, bahasa dan budaya yang dimilikinya. Pada hari ini, meskipun selepas lebih satu abad dipisahkan dan berada di dua buah negara yang berbeza, namun tidak sedikit orang Patani yang masih punya keluarga di Kelantan, demikian juga sebaliknya. Ditambah dengan kemudahan sistem perhubungan yang ada sekarang, baik transportasi maupun komunikasi, hubungan ini bukan semakin mengecil, malah semakin meluas dan melebar jaringannya, tak hanya dengan Patani dan Senggora (Thai: Songkhla) yang bersempadan dengan Malaysia, tetapi juga merangkumi sehingga Krabi dan Nakhon Si Thammarat.
Buku ini mengandungi sejumlah 15 buah makalah seminar mengenai Kelantan- Patani yang dibentang dalam berbagai seminar dalam dan di luar negeri, dalam tempoh antara tahun 2000 hingga 2017. Terkandung dalam buku ini ialah hal- hal mengenai sejarah dan budaya Kelantan- Patani, merangkumi politik, kebangkitan ulama, peranan institusi pengajian Islam tradisional (pondok), kegiatan intelektual atau keilmuan, dan malah merambah kepada soal- soal bahasa, sastera dan persuratan juga.
ABDUL RAZAK MAHMUD @ AHMAD FATHY AL- FATANI adalah nama pena bagi seorang penulis yang sama. Beliau banyak menulis mengenai sejarah dan budaya Kelantan- Patani dalam berbagai majalah, kertas seminar dan malah buku. Antara buku- buku beliau yang telah terbit ialah Pengantar Sejarah Patani (1994), Ulama Besar dari Patani (2001), Ikhtisar Sejarah Kelantan (2002), Persuratan Melayu Wilayah Timur (2009), MAIK: Peranannya dalam Bidang Keagamaan, Persekolahan dan Penerbitan di Kelantan sehingga 1990 (2010),, Biografi Singkat 40 Ulama’ Terpilih Negeri Kelantan (2017) dan lain- lain.