Sama ada namanya Tuah, Hang Tuah, Tun Tuah atau Kyai Tuah, memang telah banyak dan kerap diperkatakan mengenai manusia Melayu ini.
Dari peringkat serendah-rendahnya orang kebanyakan, sehinggalah ke peringkat setinggi-tingginya para sarjana dan pemikir sektor budaya, politik, sejarah, antropologi, sastera, dan sebagainya, baik di peringkat tempatan, kebangsaan, mahupun antarabangsa.
Lalu, samaada langsung atau sebaliknya, semacam telah tidak disedari terungkap suatu intellectual discourse yang berbeza dan berlainan tahap dan peringkat, baik pengungkap penalaah Melayu sendiri mahupun para pemikir bukan Melayu dari luar lingkaran alam Melayu.
Untuk menamakan segelintir pengungkap luar ini seperti Tsu Yuan Tsiao, C. Hooykaas, Francois Valentijn, G.H. Werndly, John Layden, R.O. Winstedt, Andres Teeuw. Shelly Elizabeth Errington, TJ. Newbold, J. Grawfurd dan ramai lagi, adalah testimoni dan bukti bagaimana pengetahuan perihal manusia Hang Tuah ini tersebar bukan sahaja dalam ruang lingkup sejarah dan budaya pemikiran masyarakat Melayu, malah menjangkau jauh daripada itu. Para pengungkap ini mengambil pendekatan berbeza, mengikut disiplin dan ilmuan masing-masing.