Masjid dan keramat merupakan warisan sosiobudaya dan agama yang menjadi bukti sumbangan masyarakat Islam terhadap perkembangan Pulau Pinang sebagai sebuah pelabuhan dan petempatan penting sejak abad ke-18. Di sebalik kerencaman persaingan untuk membina kehidupan di tempat baru ini, masyarakat Islam di negeri itu meneruskan tradisi keagamaan dengan membina surau dan masjid untuk tujuan beribadat selain berbuat kebajikan menerusi tradisi menderma dan mewakaf harta benda. Manakala keramat pula menjadi tempat manusia di tempat baru ini menyerahkan harapan dan impian hidup masing-masing. Menariknya, berbeza dengan masjid yang menjadi tempat beribadat yang khusus bagi orang Islam, keramat pula menjadi tempat manusia daripada pelbagai latar belakang sosial, agama dan budaya berkongsi ruang dan bercampur gaul antara satu sama lain.
Buku ini mengandungi 75 kata masukan masjid dan 24 kata masukan keramat yang terdapat di Pulau Pinang sejak 1730-an hingga 2012. Koleksi kata masukan masjid dan keramat ini diharap dapat memberi pemahaman kepada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di Pulau Pinang, dan di negeri- negeri lain di Malaysia dan tempat-tempat lain tentang bagaimana manusia daripada kelompok yang berbeza-beza dari segi agama dan budaya masih boleh berkongsi ruang dalam hal-hal sosiobudaya dan keagamaan seperti yang dapat dilihat dalam sejarah pembinaan masjid dan keramat di negeri itu.
SENARAI PENYELIDIK
MAHANI MUSA
Pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. Beliau banyak terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan berkaitan dengan Pulau Pinang. Antara buku penting beliau ialah Kongsi Gelap di Negeri-negeri Melayu Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940-an terbitan Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) pada tahun 2003, Buku ini juga diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris berjudul Malay Secret Societies in the Northern Malay States, 1821-1940s oleh MBRAS pada tahun 2007.
ANUAR GHAWI
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Seni (Seni Halus), Universiti Sains Malaysia, 2009. Beliau pernah menjadi pegawai penyelidik bagi beberapa geran penyelidikan Universiti Sains Malaysia.
OMAR YUSOFF
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia dan kini berkhidmat di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia. Tesis beliau adalah tentang kaum Jawi Peranakan Di Pulau Pinang (2005).
MUHAMMAD IZUAN ABDUL RAHMAN
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (pengkhususan Sejarah), Universiti Sains Malaysia, 2012. Kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di universiti yang sama.
NORIAH ABDULLAH
Pesara guru.
HABSAH ABDUL RAHMAN
Ketua Bahagian Malaysiana & Arkib, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia.























