Sastera Mahua dalam Kritikan dan Pensejarahan

, , ,

2016, USM
Softcover, 24 cm x 16.5 cm
212 pages
ISBN: 9789674610463

 

 

RM60.00

2 in stock

Sastera Mahua dalam Kritikan dan Pensejarahan menyorot proses pencarian jati diri kesusasteraan Mahua dengan memfokuskan wacana kritikan sastera yang pernah diketengahkan sepanjang perkembangan sejarah sasteranya. Tulisan yang sedemikian jarang-jarang ditemui dalam dunia ilmu berbahasa Melayu. Justeru, ia amat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi mahasiswa-mahasiswi khususnya dan peminat sastera amnya. Kehadirannya juga adalah kunci untuk menyelami pemikiran dan minda penulis-intelektual Cina di Malaysia.

Ilmu pengajian kesusasteraan Cina Malaysia (atau dikenali sebagai kesusasteraan Mahua) telah wujud sejak tahun 1960-an. Sepanjang tempoh setengah abad yang lalu, sarjana dari dalam dan luar negara telah menggembleng tenaga untuk menyelami hati sanubari komuniti Cina melalui khazanah dan warisan sasteranya. Kini, ia telah berkembang sebagai suatu komponen yang penting dalam keseluruhan ilmu pengajian Cina Malaysia.

Penerokaan keperibadian dan jati diri kesusasteraan Mahua sebagai satu bentuk d sastera gejala baharu dalam wacana pascakolonialisme menjadi tumpuan buku ini. Bermula dengan langkah pencarian sejak tahun 1930-an melalui semboyan kesenian Nanyang, kesenian Malaya dan isu penulis setempat, hinggalah polemik tentang isu keunikan kesusasteraan Mahua sejurus tamatnya Perang Dunia Kedua, persoalan jati diri terus mendapat perhatian dan mengundang perdebatan yang hangat.

Buku ini turut menghuraikan peranan kuasa imperialis Amerika Syarikat sejurus bermulanya era Perang Dingin dalam melaksanakan pelbagai strategi, termasuk tajaan program sastera dan budaya untuk membendung pengaruh komunis di Asia. Campur tangan tersebut turut mengakibatkan jati diri sastera Mahua menerima gerhana dengan kemasukan nilai dan pemikiran individualisme dan liberalisme di bawah kerangka falsafah kemodenan penulisan Barat.

Selepas insiden tahun 1969, hegemoni ideologi nasional yang memberi penekanan khusus kepada dasar fahaman bumiputera dan nilai keislaman turut mengakibatkan perkembangan kesusasteraan Mahua mengalami penyimpangan. Kesan daripada dua arus berkenaan mendorong penulis Mahua kembali menyusur dan berpaut pada tradisi sastera klasik Cina lalu muncul dalam bentuk penulisan nostalgia budaya, sekali gus mengakibatkan pembenturan pembangunan jati diri yang dipupuk selama ini.

Seterusnya kebangkitan negara China serta kemunculan era globalisasi dan gejala pergerakan transnasional yang semakin rancak sejak tahun 1980-an, sekali lagi memberikan dampak yang cukup hebat ke atas proses tersebut. Pada ketika ini, muncul golongan pengkritik generasi muda dengan muhasabah dan pertikaian terhadap gangguan faktor Cina serta lanjutan ideologi kolonialisme yang terlaksana melalui mekanisme dan ideologi nasional.

Ringkasnya, pencitraan jati diri sastera Mahua sejak zaman pascaperang hingga kini berlangsung dalam proses dan pendekatan yang menyaksikan ia menangani hubungan kuasa dengan kedua-dua faktor tersebut. Sastera Mahua dalam Kritikan dan Pensejarahan akan menelusuri perkembangannya dan cuba melakarkan sebuah peta pemikiran pengkritik intelektual Mahua sepanjang proses tersebut.

Weight 1500 g
Dimensions 24 × 16.5 × 1 cm