Ini adalah buku dwibahasa pertama dalam sejarah seni-budaya Malaysia merakam perkembangan sebuah kolektif dan terbitan pertama seumpamanya merujuk topik berkolektif. Projek Rabak, kolektif artis-seniman asal Ipoh, mencetak detik-detik membangunkan usaha dalam buku ini yang dipenuhi esei, artikel, poster, rekabentuk, foto langka dan belum pernah diterbitkan, serta pelbagai pengisian bagi memberi pendedahan tentang Rabak dari segi kesenian, estetik, pengaruh, gaya, kesan, peranan dan fungsinya sebagai sebuah kolektif budaya-kontra.
Selain berperanan sebagai kurator serta menganjur festival, program, pameran, membentuk artis, ekosistem dan menghubung jaringan, Rabak turut meneraju daya usaha seperti rumah penerbitan buku, Rabak-Lit (2012); ruang alternatif, Khizanat (2013); Rabak Studio (2013), Projek Rabak Gallery (2015); festival seni kontemporari, Ipoh Creative (2015); perpustakaan/bed & breakfast, Rumah Khizanat (2016); ruang jaringan, Kedutaan Ipoh, Jakarta (2019) dan Hiroshima (2020); juga beberapa prakarsa lain yang tak diketahui khalayak ramai.