Perjanjian Bangkok 1909: Wacana Sejarah dan Persejarahan 

,

2024, USM
Softcover, 24 cm x 16.5 cm
290 pages
ISBN: 9789674617301

 

 

RM49.00

2 in stock

Perjanjian Bangkok 1909: Wacana Sejarah dan Persejarahan menelusuri sejarah hubungan negeri-negeri Melayu-British-Siam, kolonialisme, nasionalisme, perjuangan politik, perkembangan yang membawa kepada termeterainya Perjanjian Bangkok 1909 serta kepentingan dan kesan-kesan di sebalik perjanjian itu secara menyeluruh. Fokus buku ini adalah untuk menjelaskan tentang peranan utama yang dimainkan oleh pelbagai kelompok politik dan nasionalis, pemerintah dan rakyat, hinggalah kuasa-kuasa imperialis dalam menentukan kemaraan imperialisme serta jatuh bangunnya negeri-negeri Melayu Utara khususnya sejak awal kurun ke-20.

Jika tahun 1824 dikenang sebagai tanggal termeterainya sebuah perjanjian yang telah memisahkan Semenanjung Malaysia dengan Indonesia, tahun 1909 pula menyaksikan terbentuknya satu perjanjian yang melibatkan British-Siam yang memisahkan negeri-negeri Melayu utara dengan wilayah-wilayah Melayu utara lainnya yang dahulunya merupakan negeri-negeri Melayu, tetapi kini lebih dianggap sebagai sebahagian daripada negara Thai. Perjanjian Anglo-Siam atau lebih dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909 merupakan pelengkap beberapa siri perjanjian yang dibentuk antara British-Siam demi kepentingan imperialisme dan politik yang akhirnya turut memberi kesan besar dalam menentukan kedudukan sempadan Malaysia hingga ke hari ini. Dari satu segi, tahun 1909 merupakan satu titik hitam sejarah yang memisahkan hubungan persaudaraan dan politik yang telah lama terjalin antara negeri-negeri Melayu dengan Patani misalnya (dan beberapa wilayah Melayu lair yang dikuasai Thai), yang mempunyai pengalaman sejarah dan turun naiknya sendiri sebelum dicengkam oleh Siam pada zaman Ayuthia pada kurun ke-19.

Perjanjian yang dibuat secara rasmi di Bangkok itu, yang dilakukan tanpa makluman atau disedari oleh pemerintah negeri-negeri Melayu sendiri yang terlibat sebagai subjek di dalam persetujuan itu, telah menghasilkan lapan artikel bersama dua protokol yang menjadi lampiran (annex) perjanjian itu. Keputusan perjanjian tersebut mensyaratkan supaya diadakan satu penyelesaian sempadan yang tetap, bertanda dan kekal untuk selama-lamanya bukan untuk kepentingan rakyat tempatan, tetapi untuk kepentingan imperialis. Hal ini bermaksud British dan Siam bersepakat untuk tidak lagi campur tangan dalam hal di luar daripada persempadanan wilayah yang diiktiraf bersama sebagai milikan kuasa penjajah. Artikel 1, iaitu yang paling pokok dalam perjanjian itu jelas menyebut bahawa kerajaan Siam bersetuju untuk menyerahkan hak-hak kedaulatan, naungan, pentadbiran, perundangan dan apa-apa juga kawalan ke atas negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dan pulau-pulau berdekatan kepada pihak British.

Namun, secara tidak langsung menetapkan bahawa selain negeri yang jelas disebutkan, wilayah Melayu lain seperti Patani, Narathiwat, Setul (Satun), Singgora (Songkhla) dan Yala akan terus kekal diletakkan di bawah kekuasaan Siam. Dengan kesepakatan bersama kuasa-kuasa penjajah itu, maka negeri-negeri Melayu telah ditetapkan nasibnya tanpa hak yang jelas, walaupun menganggap mereka sebagai negeri-negeri yang berdaulat dan tidak dijajah. Perjanjian Bangkok 1909 yang memisahkan sepenuhnya antara dua wilayah Melayu kepada dua pengaruh penjajahan, iaitu British dan Siam, memecahkan bukan sahaja sempadan politik dan kebangsaan, tetapi juga pemikiran masyarakat terhadap pengalaman sejarah itu sendiri. Perjanjian itu menatijahkan perasaan atau ‘kelukaan’ berpanjangan yang tidak mungkin boleh dijalinkan.

Weight 1500 g
Dimensions 24 × 16.5 × 1.7 cm