Zakat pertanian merupakan antara sumber zakat yang penting di Malaysia. Hal ini kerana sektor pertanian antara sektor utama yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi di Malaysia di samping sektor perkhidmatan dan sosioekonomi masyarakat Malaysia juga antaranya berasaskan pertanian. Pertubuhan kutipan zakat di Malaysia telah pun menjalankan kutipan zakat hasil tanaman atau pertanian demi merealisasikan tuntutan syariat.
Zakat tanaman suatu perkara yang penting dalam Islam yang menjadi salah satu ibadat sebagai bukti ketaatan kepada Allah, bahkan mendatangkan kemaslahatan dalam kehidupan umat Islam. Memperkasakan zakat sama seperti memperkasakan umat Islam. Pemerkasaan zakat pertanian dapat memberikan beberapa faedah antaranya, mempertingkatkan taraf sosioekonomi umat Islam, menjamin pusingan kekayaan dalam kalangan masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan terutamanya fakir miskin. Buku ini memberikan beberapa cadangan yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkasakan zakat pertanian khusus tanaman padi di negeri Kedah. Oleh sebab itu, perlu adanya kerjasama erat antara pengusaha sawah dengan pihak pengurusan pertanian serta pentadbir zakat negeri Kedah dalam merealisasikan cadangan serta idea yang telah dikemukakan.