Buku ini diterjemah daripada One Man’s Will, karya yang ditulis sendiri oleh Pamela Ong Siew Im, peguam berasal dari Pulau Pinang. Membaca sejarah Dato’ Onn bererti membaca sebahagian sejarah pembentukan negara ini. Bapa nasionalisme Melayu ini berjaya mengembeleng kekuatan rakyat Tanah Melayu untuk melawan penjajah, seterusnya membuka jalan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Buku ini menggariskan perjalanan hidup Dato’ Onn sejak zaman kanak-kanak hingga ke zaman beliau menjadi pelajar, ahli politik, wartawan dan pemimpin. Turun-naik dan cabaran yang dihadapi Dato’ Onn menunjukkan kekuatan semangat dan idealismenya. Buku ini juga istimewa kerana turut menyertakan surat dan rencana yang ditulis Dato’ Onn.