Sewaktu aku meninggalkanmu bonda
air mata berjurai juga
dalam kemas dakapanmu kau berpesan
“Inilah pengorbanan, capailah cita-citamu,”
Yumi Zuhanis Has-Yun Hashim, 2004, KLIA-Heathrow
Catatan perjalanan hidup ini dinukilkan sebagai tanda ingatan ketika diri penulis dalam proses mempelajari nilai kehidupan yang sebenar. Pengembaraan meraih ilmu dan melewati perjalanan kehidupan di rantau orang menjadikan penulis lebih memerhati, lebih responsif dan lebih dewasa. Meredah musim-musim dengan budaya yang berbeza di rantauan semasa dalam proses menimba ilmu telah menjadi wadah muhasabah diri untuk seorang insan yang cuba melakukan yang terbaik sebagai isteri, ibu, anak, pelajar pascasiswazah, teman, rakan sekerja dan pelbagai lagi fungsi seorang individu di dunia juga akhirat.