Kegawatan adalah novelet karya Faisal Tehrani. Novelet ini diatur dalam kerangka semi-biografi, yang menjadi struktur eksperimental dengan menempatkan imaginasi dalam konteks masa kini. Kegawatan menyelidiki pelbagai lapisan krisis: krisis psikologikal dan fizikal pada akhir zaman, krisis ideologi watak-watak yang bertentangan, dan krisis dalaman individu yang berdepan dengan diri masa lalu dan merangkul transformasinya. Krisis apokaliptik yang bersifat rekaan menggambarkan sikap Faisal dalam tahun-tahun awal penulisannya. Penuh dengan aspirasi kesucian dan kemuliaan Islam, novelet ini diutarakan sebagai alternatif kepada konsepsi hidup moden yang bersifat sendeng-Barat yang hanya menjanjikan kekecewaan. Ia mencerminkan kekesalan pasca-kolonial, tatkala sisa-sisa sejarah itu diwakili oleh golongan elit yang baru terbentuk daripada orang Melayu yang berpendidikan Inggeris, sementara bahasa dan budaya asli diabaikan sebagai kelas kedua. Oleh itu, tema utama novelet Kegawatan ini adalah hegemoni minda, suatu reaksi terhadap penyakit rendah diri dan malu alah pada budaya asli yang dominan. Pencarian maruah dan inspirasi jelas dalam bab terakhir Kegawatan, yang menyajikan wawasan potensi Melayu yang terpenuhi dan meraikan diaspora yang telah merata ke seluruh dunia.
—
FAISAL TEHRANI (b. 1974 – ) adalah seorang pengarang asal Malaysia. Faisal telah memenangi aneka anugerah sastera dan sering dianggap seorang yang kontroversi lantaran gemar bereksperimen, baik menerusi bentuk ataupun kerana mengetengahkan wacana alternatif dalam karya-karyanya. Antara novel-novel beliau yang diingati adalah 1515 (diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis dan diterbitkan oleh Les Indes savantes), The Professor dan The Koro Riots (kedua-duanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Brigitte Bresson).