“Cerita Jajahan Bonda tidak pernah sepi dan mati.
Cerita tentang ketabahan penduduknya.
Cerita tentang kesabaran penghuninya.
Cerita tentang pengorbanan warganya.
Cerita tentang Semaun. Cerita tentang Mahanum.”
Jajahan Bonda bukan desa yang dijajah, tetapi desa yang gagah. Jajahan Bonda dibangunkan dengan usaha dan keringat, dengan kerjasama dan semangat. Jajahan Bonda diwarnai oleh kehidupan penghuninya yang pelbagai matlamat, yang walaupun diselarati aral dan musibah, mereka contoh dan idola rakyat di perdesaan yang mengejar pembangunan dengan cara yang paling wajar, bukan dengan cara kurang ajar.
Menghayati alur cerita dalam novel Jajahan Bonda ini dapat menyedarkan generasi kini tentang perlunya mereka menyebatikan sikap bersatu padu, bertanggungjawab, bekerjasama, dan saling membantu dalam diri masing-masing selain menghendaki mereka meletakkan sikap berkasih sayang, bertoleransi, gigih, sabar, tabah, berani, dan sebagainya. Pengarang benar-benar teliti mengadun jalan ceritanya; kejutan di akhir cerita berupaya menyebakkan perasaan.