Iakah Salmah?

, ,

Ahmad Rashid Talu
2016. Dewan Bahasa & Pustaka.
Softcover. 21.7 cm x 14 cm. 384 pages.
ISBN: 9789831008294

RM30.00

Iakah Salmah? adalah novel tahun 1920-an yang dikarang oleh novelis Ahmad bin Muhammad Rashid Talu dengan latar belakang masyarakat kota di Pulau Pinang.

Ada dua percintaan dalam novel Iakah Salmah? iaitu antara Salmah dengan Zaini dan antara Bakar dengan Nahariah. Tidak seperti novel lain, cinta Salmah tidak mendapat halangan tetapi halangan wujud antara Bakar dengan Nahariah. Halangan yang dihadapi oleh Bakar dan Nahariah bukan disebabkan oleh perbezaan darjat ataupun halangan orang tua tetapi percintaan itu terhalang kerana prasangka terhadap Bakar yang telah menolong Salmah.

Sorotan sidang pengarang

Beliau lahir di tengah-tengah perkembangan pesat dalam bidang penerbitan dan percetakan di Pulau Pinang pada awal tahun 1920-an. Pelbagai akhbar dan majalah dengan tidak sedikit memberi tumpuan kepada bidang sastera, terutamanya novel.

Kemunculan syarikat-syarikat penerbitan ini membuka lembaran baru dalam perkembangan penulis-penulis Melayu seperti Ahmad Rashid Talu, Abdul Hamid Aziz dan Ahmad Murad Nasaruddin yang terpanggil untuk melihat kemunduran bangsanya.

Era ini memperlihatkan masyarakat Melayu Pulau Pinang yang jauh ketinggalan dari pelbagai aspek terutamanya ekonomi dan pendidikan berbanding dengan keturunan pendatang.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sohaimi Abdul Aziz, Ahmad Rashid Talu adalah salah seorang penulis yang prolifik pada waktu itu.

”Melalui novelnya yang terkenal iaitu Iakah Salmah, beliau merakamkan pemikiran yang progresif itu. Ahmad Rashid mengemukakan pandangannya tentang faktor-faktor yang menyebabkan bangsa Melayu tertinggal jauh di belakang.

”Novel ini membawa zaman baru iaitu kemajuan. Untuk sampai kepada zaman itu maka masyarakat Melayu perlu membaiki kelemahan yang ada pada diri seperti berani menegakkan kebenaran, berfikiran terbuka dan lain-lain,” katanya.

Beliau menjelaskan kedudukan wanita dalam karya-karya Ahmad Rashid Talu pada Seminar Kefahaman Budaya II, Tokoh Intelektual Melayu Pulau Pinang di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Namun, dalam hal ini, sebahagian besar karya-karya Ahmad Rashid lebih tertumpu kepada wanita sebagai protoganisnya terutama Iakah Salmah, Kawan Benar, Rahmah binti Abdullah dan Dua Belas Kali Sengsara.

Dalam Iakah Salmah, beliau meletakkan wanita pada kedudukan yang istimewa. Watak Salmah merupakan lambang pemikiran progresifnya untuk membincangkan aspek-aspek pelajaran, agama, ekonomi dan etika orang Melayu.

Di sisi lain, Dr. Sohaimi cenderung melihat watak yang diangkat dalam novel ini merupakan idealisme dan realiti zaman yang melatari dunia kepengarangan dan masyarakat pendukungnya.

Malah, watak Salmah juga merupakan simbolik untuk menjelaskan kedudukan wanita Melayu Pulau Pinang dan negara ini secara umum yang masih terikat oleh normal-normal dan hierarki sosial masyarakatnya.

”Salmah adalah protoganis yang melambangkan wanita moden yang kehadirannya membawa amanat penting untuk memajukan orang Melayu. Dia adalah wanita moden yang menentang sebahagian arus tradisional yang kolot, mundur dan membelenggu.

”Dia juga menampilkan dirinya dari aspek fizikal yang bertentangan dengan nilai-nilai masyarakat Melayu semasa. Salmah juga melihat masyarakat harus membuang pegangan budaya dan agama yang songsang serta berpaling kepada permodenan,” tambahnya.

Di samping itu, menerusi watak Salmah juga, Ahmad Rashid memperlihatkan perjuangan kaum muda di negara ini pada awal abad ke-20 banyak melibatkan peranan golongan wanita.

Suara pembaharuan yang dibawanya memperlihatkan kelantangan yang amat berani dan mampu berdebat dan mengkritik tentang kekolotan masyarakatnya yang tidak membezakan antara adat dan agama.

Ahmad Rashid juga menjadikan Salmah sebagai model sebenar yang harus diikuti oleh seluruh masyarakat Melayu. Dengan kata lain, beliau berpendapat, puluhan Salmah boleh diwujudkan jika wanita-wanita diberi pendidikan sempurna.

Dr. Sohaimi menjelaskan, latar pendidikan yang perlu diutama menurut Ahmad Rashid ialah pelajaran Inggeris. Ini kerana sebahagian besar masyarakat Melayu masih memandang negatif kerana dikhuatiri anak-anak mereka akan dikristiankan.

”Sebagai penulis, Ahmad Rashid Talu mahu mengubah pandangan ini dengan mengemukakan watak Salmah yang memperlihatkan wanita berpendidikan Inggeris tetapi tidak menjadi Kristian. Sebaliknya, Salmah juga pandai berhujah tentang Islam.

”Dengan kata lain, Salmah adalah model bagi masyarakat Melayu yang bukan sahaja berpendidikan Inggeris, tetapi juga berpendidikan agama,” jelas Dr. Sohaimi. ‒ Utusan Melayu (M) Bhd

Weight 550 g
Dimensions 21.7 × 14 × 2 cm

You may also like…