Buku ini mengetengahkan keindahan dan keunikan busana tradisional Negeri Sembilan. Khazanah budaya ini diserikan dengan ungkapan, pantun dan syair yang menggambarkan tentang busana. Pembaca dibawa menelusuri sistem adat perpatih yang mempengaruhi perkembangan busana di Negeri Sembilan. Busana harian seperti baju kurung, baju kebaya setengah tiang, baju kebaya belah panjang dan baju Melayu cekak musang dijelaskan satu-persatu.
Begitu juga busana adat istiadat yang hanya terdapat di Negeri Sembilan, iaitu busana Ibu Soko, Dato’ Bentara Perempuan, Dato’ Lembaga, Dato’ Adat dan Buapak. Busana pengantin Negeri Sembilan turut diperincikan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Seterusnya bagi pencinta persembahan kebudayaan dan kesenian, turut ditampilkan busana Tarian Piring, Tumbuk Kalang dan Randai.
Tidak ketinggalan sebagai pelengkap busana tradisional, pembaca dapat mengetahui lebih lanjut mengenai destar, tengkolok atau telepuk dan sanggul lintang. Kain samping yang menjadi pelengkap busana Melayu kaum lelaki dijelaskan cara pemakaian dan jenis ikatannya. Buku ini mampu menarik minat generasi kini untuk mengetahui asal usul, keistimewaan dan falsafah cara pemakaian busana tradisional yang diwarisi sejak turun temurun hingga sekarang. Buku ini amat bermakna kepada semua pencinta warisan budaya Melayu untuk melestarikan khazanah bangsa yang bernilai ini.