Cerita berkisar di sebuah kampung yang bernama Rupert. Kampung ini terletak di negeri Sabah. Ia mengisahkan tentang Pak Ali, tuan punya kedai gunting rambut. Perniagaan gunting rambutnya semakin merosot hari demi hari. Isteri Pak Ali selalu mendesak agar Pak Ali berhenti sahaja daripada terus menjadi tukang gunting rambut. Tapi Pak Ali enggan kerana baginya kedai gunting rambut itu sangat bermakna dalam sejarah hidupnya.
Tok Mun pula ialah seorang lelaki tua yang sangat uzur. Dia terpaksa menggunakan tongkat dan alat bantu pendengaran serta kaca mata dalam menjalani hidup sehariannya. Walaupun sudah lanjut usia, Tok Mun berhasrat untuk bertanding lagi dalam pilihan raya, dan sekiranya dia menang, dia bercita-cita untuk menukarkan nama “Rupert” itu kepada nama yang lebih bercirikan tempatan. Bagi Tok Mun, nama “Rupert” sangat berbau penjajah. Tok Mun pernah kalah teruk dalam pilihan raya sebelum ini.
Selain itu, novel ini berkisar tentang kisah hidup para penduduk di Pekan Rupert. Ada digambarkan tentang konflik yang berlaku sesama mereka. Konflik yang berlaku itu adalah lebih kepada persaingan untuk memajukan ekonomi masing-masing.