Sutan Puasa, a review by the Malaysian Historical Society

Buku berjudul Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur setebal 615 halaman ditulis oleh Abdur-Razzaq Lubis dan diterbitkan oleh Areca Books.

Buku ini dipercayai akan menimbulkan debat tentang siapa sebenarnya membuka Kuala Lumpur. Abdur-Razzaq menyatakan buku ini diterbitkan adalah berdasarkan maklumat baru berkaitan dengan sejarah tanah air. Buku ini memberi fokus kepada peranan Sutan Puasa, saudagar Maidaling yang terlibat dalam kegiatan awal lombong bijih timah di Kuala Lumpur di pertengahan abad ke-19. Abdur-Razzaq mempunyai data dan fakta tentang siapa sebenarnya membuka Kuala Lumpur. Fakta yang menyatakan bahawa Kapitan Cina Yap Ah Loy atau Raja Abdullah, Orang Besar Jajahan Klang sebagai pembuka Kuala Lumpur seperti terdapat dalam buku teks menimbulkan polemik. Setengah orang menolak walaupun belum membaca buku beliau.

Walaubagaimana pun kajian beliau menunjukkan Sutan Puasa membuka Kuala Lumpur. Beliau mengambil masa 5 tahun untuk melengkapkan kajian dan mendapat banyak cabaran dalam usaha mendapat bahan rujukan. Buku ini diberi kata pengantar oleh Prof Emeritus Terry McGee dari University of British Columbia, Vancouver, Canada. Prof Terry menyifatkan buku Abdur-Razzaq memberi interpretasi baru kepada sejarah awal Kuala Lumpur. McGee pernah membuat kajian tentang sejarah orang Meiayu di Kuala Lumpur untuk pengajian PhD beliau.

Abdur-Razzaq dalam bukunya ada memuat peta dan gambar lama Kuala Lumpur. Beliau memulakan bab pertama buku beliau dengan “The Naming of Kuala Lumpur” yang digunakan dalam dokumen lama seperti Sungai Lumpur dan Pengkalan Lumpur. Dalam bab dua beliau menyentuh tentang beberapa nama seperti Yap Ah Loy, Hiew Siew dan Raja Abdullah. Seterusnya dari bab ketiga beliau menyentuh tentang peranan Sutan Puasa dalam sejarah awal Kuala Lumpur. Buku ini membuka peluang untuk orang ramai memahami peristiwa penting dalam sejarah tanah air. — Artikel ini diterbitkan dalam Warkah PSM (Persatuan Sejarah Malaysia) pada April/Jun 2018