Ajaran Tasawwuf Ulama’ Nusantara

Muhammad Uthman El-Muhammady
2018 (reprint). Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
Hardcover, 23.5 cm x 15.7 cm, 305 pages
ISBN 9789832391258

RM40.00

Tasawwuf Islam, sama halnya dengan mistisisme dalam agama-agama lain, adalah bertujuan untuk mempelajari cara dan jalan bagi memperoleh hubungan langsung dan disedari dengan Allah SWT, sehingga seseorang itu merasa berada di dekatNya atau di hadratNya. Intisari ajaran ini ialah kesedaran akan adanya komunikasi dan dialog antara roh manusia dengan Tuhan dengan cara mengasingkan diri dan jerutan kehidupan duniawi yang bersifat sementara dan sentiasa berubah-ubah.

Sejak muncul sabagai suatu disiplin ilmu yang mencapai tahap kematangan dan kesempurnaan pada abad ketiga Hijrah, ilmu ini tidak habis-habisnya digugat dan dikeroyok – ada yang mengatakannya sebagai murni berasal dari ajaran Islam manakala tidak kurang pula ada yang menganggapnya sebagai “anasir luar” yang meresap masuk dan diterima sebagai ajaran Islam.

Dalam buku ini penulisnya, al-Sheikh Muhammad Uthman El-Muhammady, sangat mempertahankan ilmu ini sebagai suatu ilmu yang “murni” berasal dari Islam sekaligus menolak anggapan yang menyebutnya sabagai suatu unsur asing atau luaran. Bagi mengukuhkan pendapatnya ini beliau mengemukakan banyak hujah dan alasan, baik dari ayat-ayat al-Quran dan nas-nas al-Hadith, mahupun dari pendapat-pendapat “mereka yang utama ini”.

Lewat ajaran tasawwuf dari lima orang tokoh ulama’ Nusantara yang ditampilkannya dalam buku ini – Syeikh Hamzah Fansuri, Syeikh Yusuf al-Makasari, Syeikh Abdul Samad al-Falembani, Syeikh Daud al-Fatani dan Tuan Tabal (al-Kalantani) – penulisnya berdaya upaya mengemukakan hujah-hujahnya yang jitu dan tepat bagi mengatakan bahawa tasawwuf tidak lain adalah bersumber kepada al-Quran dan al-Hadith serta berasaskan ajaran dan amalan “mereka yang utama dalam kalangan umat ini” sebagaimana yang dapat dilihat dalam karya-karya al-Tusi (wafat 378H), al-Kalabadzi (wafat 380H), al-Makki (wafat 386H), al-Hujwiri (wafat 465H), al-Qushairi (wafat 465H), al-Ghazali (wafat 505H), al-Suhrawardi (wafat 632H), dan lain-lain.

Kandungan:

Kata Penerbit
Pengenalan

Bab 1
Hubungan Insan dengan Tuhan dalam Puisi-puisi Hamzah Fansuri

Bab 2
Ajaran Teologi dan Tasawwuf Syeikh Yusuf al-Makasari

Bab 3
Ajaran Tasawwuf Syeikh Abdul Samad al-Falembani

Bab 4
Tarbiyyah Ruhaniyyah Syeikh Daud al-Fatani

Bab 5
Ajaran Tasawwuf Tuan Tabal dalam Jala’ al-Qulub

Lampiran I
Peranan Intelektual (Ulama’) Islam di Malaysia dalam Pembentukan Kebudayaan

Lampiran II
Pengaruh Tasawwuf dalam Kesenian dan Kebudayaan Melayu Tradisional

Lampiran III
Persuratan Islam di Nusantara: Satu Nota Ringkas

Sumber Tulisan

Weight 700 g
Dimensions 23.5 × 15.7 × 2.2 cm