pengajianhadis_cover

Pengajian Hadis di India dan Pengaruhnya di Malaysia

RM46

Faisal Ahmad Shah
2016. Penerbit Universiti Malaya.
Softcover. 22.8 cm x 15.2 cm. 201 pages.
ISBN: 9789831005842

Product Description

Buku Pengajian Hadis di India dan Pengaruhnya di Malaysia” ini dianggap yang pertama mengupas secara mendalam dan komprehensif mengenai tokoh, karya dan institusi hadis di India dan pengaruhnya di Malaysia.

Buku yang bermula dengan projek penyelidikan jangka pendek geran khas Universiti Malaya berjaya menghasilkan penemuan dan maklumat baru mengenai pengaruh pengajian hadis di India terhadap perkembangan hadis di Malaysia. Umum mengetahui mengenai sumbangan besar ulama India dalam bidang hadis. Ketika dunia Arab merudum dari aspek penghasilan karya hadis, ulama India mengambil tanggungjawab tersebut menyebarkan dan menghidupkan sunnah dan hadis nabi SAW.

Kupasan mengenai pengajian hadis di India yang merangkumi biografi tokoh-tokoh ulama hadis, karya-karya penulisan mereka seterusnya institusi yang mendukung hadis berjaya mendedahkan susur galur dan sejarah perkembangan pengajian hadis di India. Bermula dengan biografi tokoh ulama hadis India yang dikategorikan kepada dua aliran iaitu aliran deobandi dan aliran hadis. Aliran deobandi diwakili oleh tokoh-tokoh ulama hadis daripada Dar al-Ulumm Deoband, Mazahir al- ’Ulum di Saharanpur dan Dar al-‘Ulum Lucknow. Manakala aliran hadis diwakili oleh anak-anak murid kepada Imam Siddiq Hasan Khan al-Bofali dan Imam al-Sayyid Nazir Husain al-Dihlawi.

Buku ini kemudiannya cuba menjejaki karya-karya penulisan tersohor tokoh-tokoh tersebut dalam bidang hadis. Karya-karya tersebut kemudian dibahaskan dari sudut kandungannya, metode penulisannya, pendekatan yang digunakan, keistimewaan dan kelebihannya. Selain tokoh dan karya penulisannya, buku ini turut mengupas mengenai sumbangan institusi pengajian Islam di India terhadap pengajian hadis. Empat institusi yang menjadi fokus kajian ialah Dar al-Ulum Deoband, Mazahir al-Ulum Saharanpur, Dar al-Ulum Lucknow dan Universiti Sanabil New Delhi.

Antara yang dibincangkan di bawah bab ini ialah bentuk dan sistem pengajian daurah hadith dan takhassus hadith yang ditawarkan di pusat pengajian ini. Turut dibincangkan ialah kursus-kursus yang dipelajari serta kitab-kitab yang digunakan. Dalam bab berkaitan pengaruh pengajian hadis di India terhadap Malaysia, tumpuan diberikan kepada analisis pelajar-pelajar Malaysia yang pernah menuntut di India bermula dari tahun I947 sehingga I990. Data dan maklumat ini diperoleh daripada daftar pelajar Malaysia di India yang berada dalam simpanan Arkib Negara. Melalui penelitian ini, dapat dikenal pasti bilangan pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di India dari tahun I947 hingga I990, institusi yang dipilih oleh mereka seterusnya bidang pengajian yang diikuti oleh mereka.

Kajian seterusnya memperkenalkan tokoh-tokoh ulama Malaysia lepasan India dan sumbangan mereka terhadap perkembangan pengajian Islam di Malaysia secara umum dan hadis secara khusus. Bagi melengkapkan kupasan berkaitan pengaruh pengajian hadis di India terhadap perkembangan hadis di Malaysia, buku ini membahaskan mengenai madrasah-madrasah di Malaysia yang menggunakan sistem pembelajaran yang dipraktikkan di institusi Islam di India. Antara madrasah-madrasah yang menjadi topik perbincangan ialah madrasah Miftah al-‘Ulum Bandar Baru Seri Petaling, Pusat Pengajian al-Quran Darul Kauthar (PPADK), madrasah al-Quran Kubang Bujuk, Darul al-‘Ulum Ii Ihya’ Ulum al-Din di Langgar, Kedah dan Maahad Darul Hadith di Kedah.

Buku ini telah disusun dengan gaya aturan dan pembahagian subtopik yang menarik dan memudahkan pembaca. Gaya bahasa yang digunakan oleh penulis juga mudah difahami dan mesra pembaca.Penghasilan buku ini sesuai dan tepat pada masanya ketika minat dan kecenderungan masyarakat Islam kepada bidang hadis semakin meningkat. Pada waktu yang sama masyarakat Islam juga tercari-cari kaedah dan pendekatan terbaik dalam mempelajari hadis-hadis nabi SAW. Semoga buku ini akan menjadi rujukan dan panduan dalam mengenali ketokohan ulama-ulama hadis India, karya-karya mereka, institusi yang menyumbang kepada kepesatan pengajian hadis di India seterusnya pengaruh terhadap perkembangan hadis di Malaysia.

Additional Information

Weight 450 g
Dimensions 22.8 x 15.2 x 0.8 cm