majalah cvr

Majalah Melayu Selepas Perang: Editorial, Sirkulasi dan Iklan

RM58

Hamedi Mohd Adnan
2013. Penerbit Universiti Malaya
Softcover, 22.8 cm by 15.2 cm, 303 pages
ISBN: 9789831005583

Product Description

Bidang penerbitan bercetak di negara ini berkembang dengan kadar yang pantas, terutamanya bermula pada awal tahun 1970-an apabila sistem pendidikan yang sebelumnya menggunakan bahasa lnggeris diubah kepada bahasa Melayu.

Penerbitan buku, majalah, dan surat khabar dalam bahasa Melayu menerima kesan langsung daripada perubahan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan itu. Sementara penerbitan buku dalam bahasa Melayu lebih tertumpu kepada keperluan sistem pendidikan itu sendiri, penerbitan majalah dan akhbar lebih menjurus kepada perkembangan semasa masyarakat yang tidak terlalu terkongkong dengan sistem pendidikan.

Penerbitan majalah terutamanya, berkembang selaras dengan perubahan suasana dan kecenderungan semasa yang turut dipengaruhi perkembangan media lain, dasar kerajaan, perubahan gaya hidup masyarakat, pertambahan masa senggang dalam kalangan masyarakat, rangsangan yang lebih untuk memperoleh maklumat, pengetahuan, dan hiburan, dan yang menjadi semakin penting, peluang yang terbuka dari segi perniagaan.

Buku ini,  Majalah Melayu Selepas Perang: Editorial, Sirkulasi dan Iklan, berhasrat untuk mengenal pasti sejauh mana pertimbangan perniagaan diambil perhatian oleh para penerbit apabila menerbitkan majalah masing-masing. Daripada pemerhatian awal, didapati bahawa meresapnya perkiraan komersial dalam dunia penerbitan Melayu berlangsung dalam jangka masa yang cukup lama, sekurang-kurangnya setengah abad.

Penerbitan majalah dapat dilakukan  dengan sempurna seandainya penerbit memberikan pertimbangan yang saksama kepada tiga elemen yang menjadi tiangnya, iaitu editorial, sirkulasi, dan iklan. Kandungan editorial bertanggungjawab untuk menarik pembaca dan dengan demikian akan meningkatkan sirkulasi. Peningkatan sirkulasi pula selalunya mendorong peningkatan pendapatan daripada iklan. Untuk membolehkan majalah bertahan di pasaran, ketiga-tiga tiang haruslah bantu-membantu, samalah seperti sebuah kerusi; untuk selesa diduduki, masing-masing tiang kerusi mestilah kukuh dan seimbang. Jika salah satu tiang lemah atau tidak seimbang, kerusi akan goyang dan mungkin tumbang. Bagaimanakah situasi editorial majalah Melayu selepas perang?

Mampukah kandungan editorial majalah menarik perhatian pembaca sehingga sirkulasinya meningkat?
Bagaimanakah pula dengan sambutan pengiklan terhadap ruang-ruang iklan yang disediakan oleh majalah Melayu?
Dan akhirnya, adakah penerbitan majalah Melayu pada periode itu menguntungkan?

Inilah antara persoalan yang akan dikupas dalam buku ini.

 

Additional Information

Weight 400 g
Dimensions 22.8 x 15.2 x 1.8 cm