aci-patambi-cover

Aci Patmabi

RM25

Azmi Iskandar Merican
2012. Dewan Bahasa & Pustaka.
Softcover. 18.4 cm x 11.4 cm. 322 pages.
ISBN: 9789834608026

Product Description

Membaca novel Aci Patmabi bagaikan memasuki sebuah terowong waktu yang membawa kita berada dalam suatu zaman penjajahan British di Pulau Pinang pada abad ke-19. Kita sama-sama melihat dan mengalami betapa dan bagaimana ‘pulau mutiara’ itu tergadai ke tangan bangsa asing, bagaimana licik kaum penjajah dan bagaimana pula terleka kaum peribumi. Protagonis Patmabi bagaikan wirawati yang cuba menyelamatkan Pulau Pinang dan nasib segugus peribumi penghuninya.

Sorotan sidang pengarang

Kisah Melayu Pulau Pinang yang Kehilangan Segalanya
Oleh S M ZAKIR

Aci Patmabi merupakan sebuah novel hasil karya Azmi Iskandar Merican. Novel ini secara keseluruhannya mengisahkan kehidupan, budaya dan sejarah bangsa Melayu berketurunan Jawi Peranakan pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Peristiwa dalam novel ini berkisar pada latar waktu antara tahun 1895 dengan tahun 1930-an. Asal usul Jawi Peranakan ialah dari India, beragama Islam dan terkenal sebagai pedagang-pedagang yang kaya dan berjaya di Pulau Pinang pada abad ke-19. Kaum Jawi Peranakan ini telah terserap dalam budaya Melayu dan dikenali sebagai orang Melayu, kerana mempunyai persamaan yang akrab sebagai penganut agama Islam malah terlakur budayanya sebagai budaya bangsa Melayu.

Kaum Jawi Peranakan ini juga terlibat dalam pengembangan syiar Islam di Tanah Melayu sejak dahulu lagi. Novel ini dengan sangat menarik memperlihatkan bagaimana orang-orang Melayu yang kaya dan terhormat serta memiliki tanah serta rumah besar di Pulau Pinang, tergadai satu demi satu hartanah mereka kepada bangsa asing yang datang berdagang di Pulau Pinang akibat anak cucu mereka yang leka dan berfoya-foya dengan kemewahan yang mereka warisi. Akhirnya tanah tanah-tanah berharga di Pulau Pinang yang asalnya milik orang-orang Melayu-Islam jatuh ke tangan orang bukan Islam dan bangsa asing yang berhijrah ke Pulau Pinang. Novel ini selain memaparkan budaya dan sejarah orang Melayu di Pulau Pinang, turut membangkitkan semangat kesedaran tentang betapa pentingnya mempertahankan tanah milik daripada jatuh ke tangan bangsa asing.

Aci Patmabi merupakan sebuah novel yang sangat menarik dalam mengisahkan perihal sosial, budaya, dan sejarah orang Melayu. Novel ini mengangkat perjuangan seorang wanita bernama Aci Patmabi dalam mempertahankan tanah-tanah orang Melayu daripada tergadai kepada bangsa asing. Dalam pada itu Aci Patmabi yang mendapat inspirasi daripada tulisan-tulisan Syed Sheikh Al-Hadi dalam majalah Al-Imam yang berjuang untuk menyedarkan orang Melayu agar keluar daripada belenggu kejahilan, khurafat dan maksiat. Novel ini hampir mempunyai persamaan dengan Hikayat Faridah Anum karya Syed Sheikh Al-Hadi yang mengangkat perjuangan wanita dalam era yang sama. Namun novel ini memperlihatkan keasliannya dengan cerita yang berlandaskan sejarah sebenar dengan garapan latar, peristiwa dan watak yang sangat real. Ia mengisahkan tentang Aci Patmabi hidup pada zaman kaum wanita dikurung di rumah, tidak dibenarkan bersekolah, menunggu masa untuk berkahwin dan menyambung tradisi wanita sebagai subjek kepada kaum lelaki dalam budaya patriaki yang tertutup. Namun, Patmabi bangkit dengan kesedaran baharu hasil pembacaannya terhadap tulisan Kaum Muda terutamanya Syed Sheikh Al-Hadi, untuk keluar daripada tradisi yang memundurkan bukan sahaja kaum wanita Melayu malah umat Islam yang dipenuhi kepercayaan khurafat ketika itu. Perjuangan dan perjalanan kehidupan Patmabi inilah yang menjadi penggerak keseluruhan cerita novel ini.

Patmabi merupakan anak Mamak Maidin, hartawan Pulau Pinang yang tinggal di Jalan Hatin. Ibu Patmabi meninggal dunia ketika melahirkan anak ketiga. Patmabi mempunyai dua orang adik yang kecil bernama Babjan dan Che Me. Patmabi adik-beradik dijaga oleh Mariambi, emak saudara mereka yang merupakan adik kepada Mamak Maidin. Keluarga Mamak Maidin hidup dalam kemewahan dan tinggal di banglo besar di Jalan Hatin. Kawasan perumahan Jalan Hatin merupakan kawasan perumahan elit orang Melayu. Mereka memiliki ramai pekerja atau khadam seperti Biyo wanita sais kereta kuda yang paling rapat dengan Patmabi, Naraina tukang kebun alias penjaga kuda dan sebagainya.

Naraina mempunyai dua orang anak yang dibawa dari India iaitu Jeya dan Nila yang disekolahkan di sekolah Inggeris. Naraina dan anak-anaknya tinggal di tan kuda atas ihsan Mamak Maidin. Mamak Maidin dan Patmabi bergerak ke mana-mana dengan menaiki kereta kuda yang melambangkan kemewahan pada zaman itu. Patmabi, jika hadir ke majlis keraian akan menghiasi tubuhnya dengan emas dan intan berlian sehingga digelar ‘pokok berlian’. Barang-barang kemas yang banyak ini disimpan dalam Kalamdam oleh Mamak Maidin setelah pulang ke rumah.

Patmabi merupakan anak perempuan sulung yang berbeza dengan gadis-gadis lain. Dia suka membaca dan antara bahan bacaan yang mempengaruhinya ialah tulisan-tulisan kaum muda terutamanya tulisan Syed Sheikh Al-Hadi dalam majalah Al-Imam. Tulisan tersebut memberi kesedaran kepada Patmabi untuk melihat amalan-amalan yang salah dalam masyarakat Melayu pada masa itu. Patmabi sangat berminat dengan ilmu, tetapi setelah tamat mengaji Al-Quran dengan Haji Mustafi, dia tidak dibenarkan keluar rumah untuk belajar lagi. Hajatnya untuk bersekolah di sekolah Inggeris terhalang kerana sikap bapa dan keluarganya yang menganggap anak perempuan tidak perlu bersekolah apatah lagi bersekolah di sekolah Inggeris yang dianggap sebagai sekolah kafir.

Bersekolah di sekolah Inggeris kepada orang Melayu pada zaman itu dianggap sebagai perbuatan haram dan keji. Patmabi hanya sempat bersekolah di sekolah Melayu Kedah Road sehingga darjah tiga sebelum diberhentikan oleh Mamak Maidin. Namun Patmabi belajar bahasa Inggeris dengan Girlie, seorang gadis Yahudi yang tinggal di Argyll Road dengan upah buah jambu air, kopi hitam dan roti kapai. Mamak Maidin membenarkan Patmabi berkawan dengan Girlie walaupun orang Yahudi di Pulau Pinang dianggap sebagai orang bawahan. Lagipun ayah Girlie bekerja sebagai kerani di pejabat Peguam Isaac yang menguruskan harta Mamak Maidin.

Pada usia 15 tahun Patmabi dikahwinkan dengan Pakwan anak Seni Rawther hartawan intan berlian yang tinggal di kawasan paling elit iaitu di Northam Road. Pakwan ketika itu berusia 21 tahun, dan semasa kecil sama-sama belajar mengaji dengan Haji Mustafi. Patmabi bertemu dengan Pakwan pada satu majlis boria untuk memberikan syarat kepada Pakwan jika mahu mengahwininya. Syarat Patmabi ialah Pakwan harus memberikannya kebebasan dan tidak mengongkong hidupnya seperti wanita lain. Patmabi mahu kebebasan untuknya berjuang memajukan masyarakat Melayu Pulau Pinang. Persembahan boria diadakan pada 10 Muharam sebagai memperingati kewafatan Saidina Husin di Karbala.

Setiap kali persembahan boria akan berlaku pergaduhan antara kumpulan boria, dan huru-hara akibat pergaduhan berlaku pada pertemuan Patmabi dengan Pakwan. Patmabi dan Pakwan berserta Naina Jambu ahli boria dibawa keluar dari huru-hara itu oleh Biyo, sais wanita yang berperangai seperti lelaki tetapi mempunyai hati yang mulia. Perkara ini turut disentuh oleh Patmabi sebagai amalan yang memundurkan masyarakat Melayu akibat leka dengan hiburan dan pergaduhan yang tidak berfaedah. Masyarakat Melayu ketika itu terlalu banyak mengamalkan perkara-perkara khurafat. Antaranya mandi Safar, iaitu mandi pada bulan Safar untuk mengelakkan bala.

Patmabi sangat jengkel dengan kepercayaan khurafat masyarakat Melayu dan sering menegurnya. Banyak lagi perkara khurafat yang menjadi amalan budaya masyarakat Melayu ketika itu termasuklah memuja kubur-kubur keramat, percaya kepada bomoh yang menyatakan hantu syaitan penyebab penyakit, amalan dalam kenduri kematian yang tidak kena-mengena dengan Islam, meminta penjaga keramat mendoakan kebaikan, fidyah sembahyang kepada si mati yang tidak bersembahyang semasa hayatnya dan sebagainya.

Patmabi berkahwin dengan Pakwan dalam majlis yang gilang-gemilang. Sedekah dan wang ditabur kepada fakir miskin. Seni Rawther merupakan saudagar intan berlian yang kaya dan tinggal banglo di kawasan paling elit di Pulau Pinang iaitu Northam Road. Kereta kuda Seni Rawther ditarik oleh enam ekor kuda. Pakwan juga sekarang sudah mempunyai kedai intan permata di Pitt Street. Pakwan mempunyai dua adik-beradik tiri, iaitu Bapu dan Janabu yang berlainan ibu.
Patmabi kini tinggal di rumah keluarga Pakwan di Northam Road. Di sini bermulalah kehidupan Patmabi sebagai seorang isteri. Patmabi membawa Biyo dan Naina Jambu bersama sebagai pekerja dan penemannya. Di rumah besar ini, Patmabi mengalami kejutan pertama melihat bapa mentuanya Seni Rawther dan suaminya Pakwan tidak bersembahyang dan berpuasa, malah amalan fardu ain tidak diberatkan dalam keluarga kaya ini, sebaliknya mereka lebih cenderung menghamburkan wang untuk bersedekah, membayar zakat dan mengadakan majlis yang dapat menayangkan kekayaan mereka.

Seni Rawther hartawan yang sangat dihormati di Pulau Pinang. Dia juga menjadi Presiden Kelab Rekreasi Darul Fatah, iaitu kelab golongan kaya Melayu. Selain tempat bertemu, kelab ini juga adakalanya menjadi tempat berjudi dan minum arak golongan atasan Melayu. Patmabi kemudian melahirkan anak lelaki bernama Mastan, yang disambut dengan besar-besaran oleh Mamak Seni Rawther. Tidak lama kemudian Mamak Seni Rawther diserang sakit jantung lalu meninggal dunia. Pakwan kini menjadi pengurus kepada semua harta ayahnya, di samping turut dilantik menjadi Presiden Kelab Darul Fatah yang baharu menggantikan ayahnya.

Perangai Pakwan mula berubah. Pakwan leka di kelab, berhibur dan minum arak serta pulang jauh malam. Desas-desus mengatakan ada perempuan dibawa masuk ke kelab untuk menjadi penghibur merisaukan Patmabi. Naina Jambu disuruh Patmabi mengintip Pakwan di kelab, dan akhirnya diketahui bahawa Pakwan sedang bermain cinta dengan seorang perempuan joget bernama Chah Lenggok. Pakwan akhirnya berkahwin dengan Chah Lenggok, meninggalkan Patmabi, anak-anaknya serta perniagaannya. Perkahwinan ini titik hitam kepada kehidupan Patmabi dan Pakwan sendiri. Satu persatu harta Pakwan dicukur oleh Chah Lenggok. Tanah, kedai emas, sehinggalah peti barang kemas yang dipenuhi intan berlian telah dilarikan Pakwan untuk diberikan kepada Chah Lenggok. Malah kereta kuda mewah Seni Rawther juga diambil untuk kegunaan Chah Lenggok.

Kedai emas Pakwan juga telah diambilalih oleh Pice, pekerja kepercayaannya secara tipu muslihat. Pakwan turut menjual tanah sawahnya di Seberang Perai untuk perbelanjaan Chah Lenggok. Ironinya tanah sawah Pakwan itu dibeli oleh Naraina, penjaga kuda Mamak Maidin ayah Patmabi yang kini hidup berjaya. Pakwan akhirnya dipecat sebagai presiden oleh ahli kelab, dan Kelab Darul Fatah yang merupakan kelab Melayu tertua di Pulau Pinang kemudiannya dijual kapada tauke Cina kerana tidak mampu membayar hutang. Kelab itu kemudian dirobohkan dan dibina Kuil Sam Poh Kong.

Setelah jatuh papa dengan segala perniagaannya hancur dikikis Chah Lenggok, Pakwan kembali ke pangkuan Patmabi. Patmabi tetap menerima Pakwan kembali dan Pakwan mula mengusahakan kembali kedai emasnya. Masalah terus menimpa apabila Janabu dan Bapu adik-adik tiri Pakwan dengan kasar menuntut hak ke atas rumah dan tanah Seni Rawther di Malay Street. Jenabu dan Bapu akhirnya menjual semua rumah dan tanah tersebut kepada Tauke Ghee Hin. Patmabi menentang keras tanah tersebut dijual kepada bangsa asing tetapi Patmabi dan Pakwan dimusuhi dan dikasari oleh Jenabu dan Bapu dengan teruk apabila mereka cuba menghalang Jenabu dan Bapu membakar masjid di tanah itu.
Selepas peristiwa itu, hubungan adik-beradik mula terputus. Namun Patmabi, melalui jasa baik Dr. Kamal, kemudiannya dilantik sebagai wanita Melayu pertama menduduki kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Patmabi menggunakan kedudukannya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu sehingga kelantangannya adakalanya tidak menyenangkan pihak Inggeris. Malah orang-orang Melayu juga memusuhi Patmabi kerana sering menegur amalan khurafat mereka dan menghalang mereka menjual tanah kepada bangsa asing. Pakwan membuka kedai emas di Buckingham Street dan dengan kedudukan Patmabi, Pakwan mendapat permit mengimport emas dan batu permata daripada kerajaan Inggeris di Pulau Pinang. Kedai emas Pakwan menjadi maju.

Pakwan kembali kepada perangai lamanya apabila mula mendampingi perempuan joget melalui Pawanteh Pote. Pakwan mengulangi perbuatan buruknya apabila berkahwin dengan perempuan joget bernama Wan Kerising dan meninggalkan Patmabi semula. Harta Pakwan dikikis habis seperti dahulu, termasuk semua tanah dan rumah peninggalan Seni Rawther habis dijual oleh Pakwan untuk memenuhi nafsu Cik Wan Kerising. Pada ketika itu, Patmabi dan Pakwan telah mempunyai dua orang anak iaitu Mastan dan Che Din. Akhirnya Pakwan menjual banglonya di Northam Road yang menyebabkan Patmabi terpaksa keluar dan tinggal di banglo peninggalan bapanya di Jalan Hatin. Orang yang membeli banglo di Northam Road ini tidak lain tidak bukan ialah Naraina, penjaga kuda Mamak Maidin ayah Patmabi dulu. Kedai emas Pakwan juga telah tergadai ke tangan tauke Cina dengan permitnya sekali sedangkan Patmabi yang mendapatkan permit itu untuk Pakwan.

Masa semakin berlalu, Patmabi semakin tua dan anak-anaknya telah muda belia. Pakwan menghabisi hayatnya dengan nasib yang malang. Setelah ditinggalkan oleh Wan Kerising, Pakwan yang tua dan papa kedana pergi ke masjid di Mosque Lane yang dahulu tanahnya tetapi telah dijual. Kawasan tersebut tiada penghuni Melayu kerana orang Melayu telah menjual semua rumah dan tanah mereka kepada bangsa asing. Masjid itu tinggal terbiar dan menjadi kawasan gelandangan termasuk dijadikan tokong oleh orang Siam dan Burma yang jahat. Pakwan yang mengamuk di masjid itu kemudian dibunuh dan mati dalam keadaan hina.

Patmabi semakin tua dan tidak lagi menjadi Ahli Majlis Negeri. Patmabi juga dihinggapi penyakit kencing manis dan tinggal di banglo peninggalan bapanya, Mamak Maidin di Jalan Hatin. Mastan dan Che Din, dua orang anak Patmabi yang dibesarkan oleh Pakwan di kalangan anak joget menurut jejak langkah Pakwan. Kedua-dua mereka menjadi anak muda yang malas, tidak mahu memajukan diri dan asyik bersuka ria. Kedua-dua anak Patmabi mewarisi sikap bapa mereka Pakwan, iaitu suka menjual harta pusaka kepada bangsa asing untuk tujuan bersuka ria. Akhirnya Mastan dan Che Din menipu Patmabi yang uzur lalu menjual satu-satunya harta mereka iaitu banglo di Jalan Hatin, juga kepada Naraina.

Kedua-dua anak Naraina kini telah menjadi peguam. Patmabi akhirnya dipindahkan ke tan kuda, tempat tinggal Naraina dahulu, dan banglo Patmabi kini menjadi milik Naraina dan anak-anaknya. Tidak tahan dengan sikap Mastan dan Che Din serta bersimpati terhadap Patmabi, Biyo dan Naina Jambu membawa Patmabi menaiki kereta lembu keluar dari Pulau Pinang menuju ke rumah Biyo dan Naina Jambu yang kini pasangan suami isteri di Butterworth. Patmabi dijaga oleh Biyo dan Naina Jambu dalam keadaan uzur, membawa sejuta luka bangsa Melayu yang akhirnya merempat dan terhalau dari bumi sendiri akibat sikap buruk anak cucu mereka sendiri.

Novel ini menggalurkan kisah yang sangat menarik, menyentuh dan memberikan kesedaran serta pengajaran yang cukup besar kepada bangsa Melayu. Aci Patmabi merupakan tragedi bangsa Melayu yang tergadai bukan sahaja bumi mereka tetapi juga kegemilangan dan maruah mereka akibat tamak, tidak berpegang kepada agama, tidak berpelajaran dan hidup bersuka ria menurut hawa nafsu. Akhirnya tanah-tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang menjadi hak bangsa asing dan kegemilangan mereka hancur musnah. Azmi Iskandar Merican memperolehi cerita serta latar kehidupan Melayu Pulau Pinang sekitar awal kurun ke-19 tersebut daripada bondanya, Alahyarhamah Hajah Hilmi Merican. Penggambaran latar kehidupan abad ke-19 ternyata sungguh hidup di tangan Azmi.

Additional Information

Weight 350 g
Dimensions 18.4 x 11.4 x 1.5 cm